PARIS – Penjaga gol veteran Paris Saint-Germain (PSG), Gianluigi Buffon percaya penyerang pasukan itu, Kylian Mbappe mampu menjadi salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman.
![]() |
|
MBAPPE berjaya mempamerkan aksi sempurna ketika membantu Perancis menjuarai Piala Dunia lalu dan dianggap pemain muda paling berbakat ketika ini.
|
Pemain berusia 19 tahun itu menjadi pemain remaja kedua selepas legenda Brazil, Pele yang menjaringkan gol pada perlawanan akhir Piala Dunia.
Justeru, Buffon percaya Mbappe memiliki masa depan yang cukup cerah berdasarkan kualiti yang ada pada dirinya, lebih-lebih lagi masih berada di awal karier.
Kata Buffon, dia mula dapat melihat bakat yang dimiliki Mbappe ketika pemain muda beraksi bersama AS Monaco menentang bekas pasukannya, Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara dan ia diakui Andrea Barzagli.
“Selepas perlawanan antara Monaco dan Juventus, saya ada bercakap dengan Barzagli dan dia mengakui tidak pernah melihat seseorang yang berlari begitu pantas dalam tempoh 20 tahun kariernya.
“Apabila kata-kata itu keluar dari mulut Barzagli, anda perlu akui Mbappe merupakan pemain yang sangat istimewa kerana Barzagli bukanlah calang-calang pemain,” kata Buffon.
Bagaimanapun, penjaga gol legenda Itali itu menggesa Mbappe agar tidak mudah lupa diri memandangkan setiap pemain terbaik dunia sentiasa merendah diri biarpun disanjung tinggi. – Agensi











