LONDON 8 Ogos – Rio Ferdinand bimbang Jose Mourinho memerlukan segala ‘taktik kotor’ bagi menghapuskan kesuraman yang menyelubungi Manchester United.
Red Devils bakal membuka kempen Liga Perdana Inggeris menentang Leicester, Sabtu ini, pada ketika Mourinho masih lagi bertelingkah dengan Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward berhubung isu pembelian pemain baharu.
Legenda Old Trafford, Ferdinand mengakui, dia tidak dapat melihat United mampu menamatkan saingan di atas juara bertahan, Manchester City atau Liverpool dalam pemburuan gelaran.
Mourinho yang memasuki musim ketiga sebagai pengurus United bakal berdepan kempen berjaya atau gagal, dan Ferdinand percaya, kelab itu memerlukan lebih daripada pertahanan Tottenham, Toby Alderweireld yang menjadi pilihan utamanya berbanding bintang England, Harry Maguire.
“Ketika ini, terlalu banyak unsur negatif di sekeliling United dan situasi itu kurang menyenangkan. Pengurus tidak gembira tentang isu pembelian pemain yang tidak dapat dilakukan.
“Ketiadaan beberapa tonggak sepanjang pramusim juga kurang enak didengar. Cara dia bercakap seolah-olah kegagalan bakal menimpa United.
“Ini belum lagi tentang kemelut Anthony Martial yang tiba-tiba meninggalkan jelajah di Amerika Syarikat dan tidak kembali ke pangkuan pasukan. Buat masa ini, Manchester City kelihatan lebih kuat dan Liverpool mempamer peningkatan ketara.
“Mereka membeli penjaga gol berharga 60 juta pound (RM316 juta), saya fikir Naby Keita mampu menghadirkan impak, kita juga tahu kualiti yang dimiliki Xherdan Shaqiri dan mereka turut menambah kekuatan dengan kehadiran Fabinho,” kata Ferdinand. – AGENSI











