Mashkor selamatkan tebusan di Penjara Pudu - Utusan Malaysia

Mashkor selamatkan tebusan di Penjara Pudu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN hampir 32 tahun kejadian sekumpulan banduan bersenjata menjadikan seorang doktor dan pembantunya sebagai tebusan di Penjara Pudu berlalu, namun peristiwa itu masih segar pada ingatan bekas Subinspektor Mohd. Mashkor Muradi.

Drama cemas tersebut berlarutan selama enam hari dan berakhir pada 22 Oktober 1986 apabila Mohd. Mashkor bersama rakan-rakannya dari Unit Tindakan Khas (UTK) Polis ditugaskan untuk menggempur kawasan klinik yang dijadikan kubu pertahanan enam banduan terbabit.

Menceritakan kembali detik tersebut, Mohd. Mashkor yang ketika itu berpangkat sarjan semasa memasuki kubu lawan yang diketuai banduan berbahaya, Jimmy Chua, kira-kira pukul 5.40 petang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, suasana di dalam klinik tersebut tidak ubah seperti kubu pertahanan kecil yang mana meja diterbalikkan dan berfungsi sebagai benteng utama menghalang serangan pihak berkuasa, manakala perabot-perabot seperti almari pula dialih dan diletakkan pada pintu serta tingkap bagi menghalang laluan.

Dr. Radzi Jaafar dan pembantunya, Abdul Aziz Abdul Majid yang berada di benteng utama bawah pengawasan seorang banduan pula kelihatan cukup lemah dan terpancar perasaan takut pada wajah masing-masing memikirkan nasib yang bakal menimpa mereka.

Banduan-banduan yang memiliki senjata tajam yang diperbuat daripada ladam kasut serta gunting dan perkakas perubatan yang sudah diasah mengugut untuk membunuh kedua-dua tebusan sekiranya permintaan mereka supaya dibebaskan tanpa syarat tidak dipenuhi.

Bukan itu sahaja, banduan-banduan ini juga meminta helikopter disediakan untuk mereka melarikan diri.

“Kami sebenarnya sudah bersedia dengan pelbagai senjata seperti pistol dan rifel automatik, namun Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad, mahu kejadian ini diselesaikan tanpa perlu ada pertumpahan darah.

“Oleh itu, kami diarah menggunakan kekuatan fizikal dan berbekal rotan sebagai senjata, kami masuk ke dalam bilik itu kerana ada orang dari dalam yang membuka pintu,” katanya ketika ditemui Mega Wira di ibu pejabat Utusan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apa yang lebih membanggakan kata Mohd. Mashkor, pasukan UTK yang diketuai Deputi Superintenden Cheng Ket Chun bersama lapan lagi anggota hanya melakukan operasi menyelamatkan tebusan itu dalam masa seminit sahaja.

Menurutnya, dalam pergelutan untuk menyelamatkan tebusan itu, Dr. Radzi telah terkena rotan di kepalanya, manakala seorang lagi banduan, Yap Chee Keong nekad mengelar lehernya sendiri dengan gunting bagi mengelak daripada ditangkap, namun dia hanya mengalami kecederaan.

Walau apa yang dilakukannya itu adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya kepada negara, tetapi keberanian dan pengorbanannya dalam misi tersebut berbalas apabila Mohd. Mashkor dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 4 Jun 1987.

Operasi Angkara dalam ingatan

MOHD. MASKHOR MURADI, 68, yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor dan mula berkhidmat dalam polis pada 1 September 1969 turut terlibat dalam Operasi Angkara atau lebih dikenali sebagai tragedi Mamali yang mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis.

Peristiwa berdarah pada 19 November 1985 di Kampung Memali di Baling, Kedah itu tidak dapat dilupakannya apatah lagi dia yang berada di barisan hadapan bersama 14 lagi rakan sepasukan terpaksa bertempur kira-kira setengah jam sebelum dapat berundur.

Misi operasi itu adalah untuk menahan Ibrahim Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya yang kemudiannya terbunuh dalam insiden tersebut.

“Seperti operasi sebelum ini, kami tidak mahu pertumpahan darah berlaku walaupun empat anggota polis telah terkorban. Tugas unit kami adalah untuk memujuk pengikut Ibrahim Libya untuk menyerah diri dengan aman.

“Satu persatu pengikutnya kami pujuk. Saya ingat lagi apabila memujuk seorang pakcik, saya katakan ‘janganlah bergaduh sesama kita. Keluarlah untuk jumpa anak-anak’.

“Dua orang saya berjaya pujuk serta dibawa keluar, tetapi tiba-tiba berlaku satu letupan dan ia menjadi pencetus kepada mereka untuk menjadi agresif semula,” jelasnya yang berasa pada 1 Mei 1994.

Berbekalkan pistol dan stun grenade untuk mempertahan diri, Mohd. Mashkor bersama rakan sepasukannya yang berhadapan kira-kira 70 hingga 80 orang musuh.

Ujarnya, suasana ketika itu memang cemas dengan dihujani peluru dari pelbagai arah dan pada operasi itulah Mohd. Mashkor mengalami kecederaan pada bahagian bahu akibat terkena parang lawan dan menerima tujuh jahitan.

Menurutnya, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) kemudian mengambil alih menangkap pengikut-pengikut itu dan tujuh daripada UTK termasuk dirinya cedera dalam operasi tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini