ATLET lompat jauh negara, Luqman Hakim Ramlan perlu mengatasi catatan 8.00 meter (m) jika berhasrat meraih pingat dalam acara tersebut pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bermula 18 Ogos ini hingga 9 September depan.
Ia bermakna Luqman yang menghuni ranking No. 1 lompat jauh negara ketika ini dengan catatan peribadi 7.82m, perlu memecahkan rekod kebangsaan berusia 11 tahun, 7.88m dilakukan Josbert Tinus di Bangkok, Thailand pada 2007.
Atlet dari Kuala Lumpur itu sedar mengenai perkara tersebut, namun sedia melakukannya sambil mengharapkan segala perancangan menjadi sewaktu pusingan kelayakan di Stadium Gelora Bung Karno pada 25 Ogos ini sebelum ke pentas final sehari kemudian.
“Saya perlu melompat melebihi catatan 8.00m kalau mahu menang pingat di Sukan Asia 2018. Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi saya akan cuba sedaya upaya dan ia menjadi satu bonus jika saya berjaya melakukannya.
“Peluang adalah 50-50 kerana sasaran saya untuk tahun ini sudah tercapai iaitu layak ke Sukan Asia 2018. Tiada apa yang merugikan untuk saya cuba memecahkan rekod kebangsaan dan memenangi pingat buat negara.
“Persediaan setakat ini memberangsangkan berbanding prestasi saya sewaktu Terbuka Korea dan Terbuka Vietnam baru-baru ini. Sekarang saya perlu perbaiki teknik dan mengelak daripada sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Luqman yang mencatatkan 7.82m pada Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA pada Mac, kembali mempamerkan peningkatan prestasi dengan catatan 7.56m pada Terbuka Vietnam minggu lalu selepas cuma melakukan 7.14m ketika Terbuka Korea dua bulan lepas.
Bagaimanapun, catatan 7.82m itu belum membolehkan Luqman memenangi pingat di Jakarta nanti berdasarkan keputusan empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan.
Pemenang pingat emas Sukan Asia 2014, Li Jinzhe dari China mencatatkan 8.01m. Tempat kedua milik atlet Korea Selatan, Kim Deok-hyeon dengan catatan 7.90m, manakala satu lagi wakil China, Gao Xinglong meraih gangsa selepas melompat sejauh 7.86m.
Terbuka Kuala Lumpur hujung minggu ini merupakan pentas terakhir buat Luqman melakukan persediaan sebelum berlepas ke Jakarta.











