SEJAK pertama kali dianjurkan sekitar tahun 2013, pesta muzikal Good Vibe Festival (GVF) terus mendapat tempat dalam kalangan peminat sekali gus memberi sokongan kepada acara tersebut pada tahun ini.
Membariskan penghibur popular antarabangsa, GVF edisi 2018 berlangsung dalam suasana meriah tanpa berdepan masalah cuaca seperti penganjuran terdahulu.
Diadakan di The Ranch @ Gohtong Jaya, Genting Highlands, dianggarkan sekitar 100,000 orang pengunjung membanjiri lokasi tersebut sepanjang acara berlangsung selama dua hari iaitu pada 21 dan 22 Julai lalu.
Ledakan muzik yang dipersembahkan sepanjang tempoh dua hari tersebut bukan sahaja membuatkan pengunjung tempatan terhibur, malah ia turut mengundang kehadiran peminat muzik dari luar negara.
Berkumpulan bagai satu keluarga, keterujaan khalayak memuncak apabila pentas dikuasai penyanyi popular Hollywood, SZA pada malam pertama dan Lorde (kedua).
Kedua-dua bintang antarabangsa itu mempamerkan ‘kuasa’ hipnosis sehingga membuatkan rata-rata penonton tidak berganjak tatkala menyaksikan persembahan.
Bukan sahaja menghiburkan, malah penampilan SZA turut menarik perhatian apabila pelantun lagu runut bunyi filem Black Panther, All The Stars itu mengenakan busana tradisional masyarakat India iaitu sari.
Menjadi bintang utama pada hari pertama acara, SZA juga menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi yang didedikasi buat ibunya.
Selain SZA, selebriti lain yang turut membuat persembahan pada hari pertama ialah What So Not, Vince Staples, The Neighbourhood, Naufal & I-Sky, Louis The Child, Roshan, Petit Biscuit, DJ Vin, SG Lewis, Lionel Rizki, Altimet & The Kawan Band, Reddi Rocket, Kyoto Protocol, Pastel Lite, Smiley, Zamaera dan Lunadira.
GVF2018 yang berlangsung pada hari kedua pula dimeriahkan dengan persembahan daripada Alt-J, Nick Murphy FKA Chet Faker, Majid Jordan, Noh Salleh, Dangerdisko (Live), Froya, Bil Musa, Emir Hermono, Jhin, Dan Shiv (Live), A-Kid, Senna, Fatim, Mass Music dan DJ Nesh.
Acara kemudian diakhiri oleh bintang berusia 21 tahun, Lorde.
Kelebihan vokal pemilik trofi Lagu Sepanjang Tahun, Grammy Award 2014 membuatkan penonton berteriak seperti histeria sepanjang satu jam persembahan.
Sorak
Setiap lagu yang dipersembahkan tidak hanya bergema dari atas pentas, sebaliknya peminat yang menyaksikan turut bersorak dan menjerit namanya selain bernyanyi bersama-sama.
“Pemandangan hutan dan keindahan alam sepanjang perjalanan untuk ke lokasi acara membuatkan saya terpesona. Persekitaran menghijau ini pasti tempat tinggal harimau kumbang.
“Saya seakan dapat merasakan kewujudan mereka dan harap persembahan ini mampu menarik perhatian mereka (harimau kumbang) untuk sama-sama datang ke sini,” katanya dalam nada berseloroh saat berinteraksi dengan peminat.
Untaian lagu yang dipersembahkan Lorde antaranya Royals, Team, Tennis Court, Liability, Sober, Homemade Dynamite, Magnets, Ribs, The Lourve, Supercut, Perfect Places dan Green Light.
Bukan sahaja menawarkan kelunakan muzik buat halwa telinga pengunjung, GVF2018 turut menyuntik kesedaran terhadap keindahan alam semula jadi, flora dan fauna terutama persekitaran lokasi yang dikelilingi hutan serta air terjun.










