HARYANA, India – Seramai lapan lelaki kini diburu pihak polis selepas mereka dipercayai merogol seekor kambing bunting sehingga menyebabkan haiwan itu mati.
Kumpulan lelaki itu dilaporkan mencuri kambing malang itu di sebuah perkampungan di luar bandar Nuh di sini, kira-kira 45 kilometer dari New Delhi. Mereka kemudiannya memukul haiwan itu sebelum melakukan serangan seksual secara bergilir-gilir.
Pemilik kambing itu, Aslup Khan, 27, mendakwa dia bersama beberapa jiran sempat menangkap dan memukul tiga suspek sewaktu mereka sedang melakukan perbuatan kejam itu. Bagaimanapun, kesemua suspek berjaya melarikan diri.
“Kambing saya cedera dan terbaring atas tanah. Haiwan itu tidak mampu berdiri sendiri. Ia seperti lumpuh,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Aslup membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut dan pemeriksaan pakar veterinar mengesahkan kambing itu mati akibat pendarahan otak. – Agensi










