SHAH ALAM 20 Ogos – Ganjarannya hanyalah antara RM3,000 hingga RM9,000 selain percutian percuma, tetapi lapan lelaki warga tempatan sanggup menjadi keldai dadah untuk membawa bahan terlarang itu ke Korea Selatan.
Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila kesemua suspek yang berumur 18 hingga 53 tahun berjaya ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada 11 dan 15 Ogos lalu.
Penahanan itu sekali gus berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamin (syabu) ke Korea Selatan seberat 13.52 kilogram (kg) bernilai RM675,994.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 11 Ogos lalu pada kira-kira pukul 6.35 pagi melibatkan enam lelaki warga tempatan yang dilihat mencurigakan ketika berada di mesin pengimbas di KLIA 2.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut telah menemukan dadah dipercayai syabu seberat kira-kira 10.43 kg yang dibungkus dalam peket plastik dan disembunyikan di bahagian paha kedua-dua belah kaki serta tapak kasut suspek.
“Susulan penahan itu juga, kami menyerbu sebuah kediaman di Kuala Lumpur pada keesokan harinya dan merampas dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 15.6 gram, syabu (3.0 gram), ekstasi (5 biji) dan erimin 5 (3 biji),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Amarjit Singh Cher Singh dan Pengurus Bahagian Keselamatan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Rosli Mohd. Isa.
Mazlan memberitahu, dua lagi lelaki turut ditahan bersama 3.08 kg dadah jenis syabu pada Rabu lalu pada kira-kira pukul 1.15 pagi ketika suspek sedang menunggu pesawat ke luar negara di KLIA 2.
“Mereka ini dijadikan keldai dadah dengan bayaran upah antara RM3,000 hingga RM9,000 selain ditawarkan pakej melancong percuma oleh sindiket dadah melalui laman sosial Facebook.
“Syaratnya mereka perlu menghantar ‘hadiah’ ke luar negara yang mana isi kandungannya telah diketahui oleh mangsa,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua suspek kini direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.











