JURULATIH Kuala Lumpur, Fabio Silva mahu melihat pemainnya terus menunjukkan persembahan konsisten seperti dipamerkan dalam beberapa perlawanan terakhir Liga Super musim ini apabila skuad Warga Kota dijadualkan menentang Terengganu Football Club I (TFC I) pada kempen Kumpulan A Piala Malaysia Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Meskipun skuad Warga Kota gagal beraksi dengan baik pada pertengahan musim saingan Liga Super, namun mereka berjaya bangkit walaupun tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi terakhir.
Pada aksi itu Kuala Lumpur hanya menggunakan dua pemain import tetapi wakil Lembah Klang itu berjaya menamatkan saingan di tempat ke-10 dan terselamat daripada zon penyingkiran.
Silva yakin dengan prestasi pemainnya ketika ini dan tetap menaruh harapan yang tinggi untuk melihat pasukan melakukan kejutan dalam pertandingan terakhir musim ini.
“Saya sangat gembira dengan persembahan semua pemain dan mahukan momentum ini dikekalkan sepanjang kempen Piala Malaysia.
“Walaupun kami tewas kepada JDT di tempat lawan, namun usaha yang dipamerkan pemain tetap menunjukkan kesungguhan mereka untuk memberikan yang terbaik ketika berada di atas padang.
“Pemain perlu melakukan yang terbaik kerana semua aksi peringkat kumpulan merupakan langkah pertama untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya dan pentas final.
“Kita perlu mencatat keputusan positif dalam semua enam aksi peringkat kumpulan jika ingin melihat Kuala Lumpur melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kuala Lumpur diundi dalam Kumpulan A bersama TFC I, Perak dan satu pasukan wakil dari Liga Premier iaitu Felcra FC.










