KPDNHEP sita tong LPG tanpa lesen - Utusan Malaysia

KPDNHEP sita tong LPG tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas sejumlah 66 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM5,060 yang dijual tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Tasik Perdana, Puchong, dekat sini kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, serbuan ke atas sebuah premis tanpa penghuni itu bermula kira-kira pukul 8.45 malam selepas pihaknya menerima maklumat awam dan hasil risikan sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa memecahkan pintu utama premis terbabit sebelum berjaya menggeledah premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis mendapati, terdapat lima buah lori yang digunakan oleh pemilik premis untuk mengangkut tong LPG.

“Pemeriksaan lanjut telah menemui 66 tong LPG yang disyaki disimpan tanpa lesen di dalam premis terbabit dan daripada 66 tong yang disita, 26 daripadanya adalah tong berisi LPG,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata, kesemua tong LPG yang dirampas itu kemudiannya dibawa ke stor KPDNHEP Selangor untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

Sabit kesalahan pemilik boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN