KUALA LUMPUR 9 Ogos – Komitmen Pengerusi baharu Felda, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor mencari penyelesaian terhadap isu melibatkan kebajikan peneroka dan kelangsungan Felda, dihargai oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Majlis Permuafakatan NGO Felda.
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, kesudian pengerusi baharu dilantik itu meluangkan masa hampir tiga jam mendengar setiap isu dan permasalahan dibangkitkan enam wakil NGO Felda itu telah memberikan kelegaan dan positif ke arah membina semula Felda yang berdepan pelbagai kepincangan ketika ini.
Beliau berkata, sesi pertemuan yang kondusif itu menyaksikan empat isu utama dibangkitkan untuk perhatian Pengerusi Felda iaitu kos sara hidup peneroka; Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF); pengurusan kebun oleh Felda Techno-Plant dan isu penyata hutang peneroka.
“Setiap isu yang dibangkitkan amat signifikan bagi semua peneroka Felda di seluruh negara yang kini terbeban oleh penyelewengan pengurusan terdahulu sehingga ada dalam kalangan warga Felda tiada langsung pendapatan.
“Selain terpaksa menanggung beban hutang yang tiada noktahnya, mereka juga hilang pendapatan daripada hasil sawit kerana kegagalan Felda Techno-Plant menguruskan kebun dengan baik dan mendorong kehilangan pendapatan setiap bulan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi pertemuan Majlis Permuafakatan NGO Felda dengan Pengerusi Felda di sini, hari ini.
Yang hadir sama ialah Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda (SGK2F), Mohammad Stap Othman; Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hasan; Presiden Kami Anak Felda (KAF), Fakhrurrazi Mohd. Habib.
Selain berbincang mengenai hala tuju Felda pada masa depan, kesemua wakil NGO itu turut menyokong keputusan kerajaan bagi menyiasat kepincangan tadbir urus Felda hingga menanggung hutang RM8.05 bilion dan keputusan tersebut akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada sesi akan datang. – UTUSAN ONLINE










