LONDON 31 Ogos – Pengurus Liverpool, Jurgen Kloop mahu Loris Karius kekal bersama Liverpool namun penjaga gol Jerman itu percaya dia membuat keputusan tepat dengan menyertai kelab Turki, Besiktas selama dua tahun secara pinjaman.
Karius membuat penampilan sebanyak 33 kali bersama Liverpool pada musim lalu menerima kecaman selepas melakukan dua kesilapan sehingga mengakibatkan pasukannya tewas 3-1 kepada Real Madrid dalam aksi final Liga Juara-Juara, Mei lalu.
Kesilapan itu menyebabkannya hilang tempat dalam kesebelasan utama selepas The Reds membawa masuk penjaga gol baharu, Allison.
“Dia (Kloop) memberitahu saya dia lebih suka jika saya kekal dalam skuad kerana dia mahu pemain yang berkualiti namun saya bercakap dengannya dan dia mengucapkan selamat maju jaya. Penting untuk saya menyertai Besiktas.
“Saya fikir perjanjian ini bagus untuk semua pihak. Dia mendoakan saya namun dia berkata mahu menyimpan saya.
“Perjalanan saya sebagai penjaga gol masih jauh. Saya mahu mengorak langkah seterusnya dengan harapan dapat memenangi kejuaraan bersama Besiktas,” kata Karius.
Besiktas akan menerima kunjungan kelab dari Serbia, FK Partizan apabila kedua-dua pasukan itu beraksi dalam aksi kedua kelayakan Liga Europa, Khamis ini selepas mereka terikat 1-1 pada aksi pertama. – AGENSI











