KOTA KINABALU – Kertas siasatan berhubung kes laporan polis membabitkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman hampir siap dan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, bagaimanapun terdapat sedikit tambahan percakapan perlu direkodkan untuk melengkapkan kertas siasatan itu.
“Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun telah mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung perkara itu dan setakat ini sahaja maklumat yang kita ada pada masa ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.
Pada 14 Mei lepas, Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membuat laporan polis terhadap Musa dipercayai berkaitan ugutan jenayah selepas upacara angkat sumpah jawatan Ketua Menteri.
Sebaik laporan polis dibuat, percakapan Juhar turut diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – Bernama










