KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan kertas putih pada sidang Parlimen akan datang untuk mendedahkan keadaan sebenar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) serta rancangan strategik pemulihannya.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kedudukan kewangan Felda sekarang merupakan legasi kepimpinan terdahulu yang lemah dalam tadbir urus korporat dan pengurusan kewangan yang tidak bertanggung jawab.
Menurutnya, Felda sedang menghadapi masalah aliran tunai yang amat kritikal.
“Tumpuan segera Lembaga Pengarah dan pengurusan yang baharu Felda adalah untuk memulihkan aliran tunai melalui perbincangan dengan pemiutang untuk menstrukturkan semula pinjaman agensi tersebut yang sudah mencecah RM8.025 bilion.
“Langkah seterusnya bagi mengukuhkan aliran tunai ialah penjualan aset tidak strategik seperti hartanah di luar dan dalam negara,” katanya menjawab pertanyaan anggota Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) di Dewan Rakyat, hari ini, mengenai proses penstrukturan Felda yang terkini.
Azmin berkata, kerajaan tetap komited memulihkan Felda secepat mungkin demi kesejahteraan peneroka-peneroka selaras dengan matlamat Akta Kemajuan Tanah 1956.
Menurutnya, kerajaan yakin pengurusan baharu Felda akan berpegang kepada prinsip kebertanggungjawaban dan tadbir urus yang tinggi demi menjayakan proses pemulihan dan pembangunan mampan bagi agensi tersebut.
Fokus utama pengurusan baharu Felda adalah untuk melaksanakan tanggungjawab perundangan terhadap peneroka Felda.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memberi jaminan bahawa pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil akan dibayar menurut jadual kepada mereka.
Kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto 100 harinya telah berjanji untuk melaksanakan pemansuhan 50 peratus hutang peneroka yang wujud hasil skim pinjaman sara hidup bagi penanaman semula tanaman. – Bernama











