KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan bayaran sumbangan khas kepada Kedah sebanyak RM10 juta setahun.
![]() |
|
Lim Guan Eng
|
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sumbangan khas itu akan dibayar mulai tahun ini.
“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa mempengerusikan Majlis Kewangan Negara 2018 telah menzahirkan hasrat supaya kerajaan Persekutuan mengkaji semula pemberian khas Kedah yang bernilai RM10,000 bagi setiap tahun.
“Pada 4 Julai lalu, Kabinet telah bersetuju supaya kerajaan Persekutuan memperuntukkan bayaran sumbangan khas kepada Kedah pada kadar RM10 juta,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PH-Jerlun) meminta sama ada kerajaan Persekutuan bersetuju mengkaji nilai pajakan tanah Pulau Pinang yang dilihat tidak bersesuaian dengan hartanah semasa atau mahu memberi pampasan kepada Kedah.
Jelas Guan Eng, kadar sumbangan khas itu akan disemak semula 10 tahun sekali atau dalam jangka masa yang sesuai.
Pada masa sama, beliau berkata, pemberian khas RM10,000 kepada Kedah akan diteruskan. – UTUSAN ONLINE












