LONDON 9 Ogos – Sejurus selepas merampas gelaran penjaga gol termahal dunia, Kepa Arrizabalaga memberi mesej kepada penyokong Chelsea, dia mahu kekal lama di kelab London itu dan menjadi legenda Blues.
Chelsea menandatangani perjanjian dengan pemain Sepanyol itu dari Athletic Bilbao dengan kontrak tujuh tahun dan rekod perpindahan 71.6 juta pound (RM374.56 juta).
Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas mereka mengesahkan pemergian Thibaut Courtois ke Real Madrid, selain kemasukan pemain tengah Croatia, Mateo Kovacic secara pinjaman.
Bagaimanapun bukan rekod perpindahan Kepa sahaja mencuri tumpuan, malah Chelsea bersetuju membayar 10 juta pound (RM52.31 juta) setahun kepada pemain berusia 23 tahun itu, sekali gus menyaksikan kos keseluruhan kontrak bernilai 141.6 juta (RM 740.76).
Rekod penjaga gol termahal dunia sebelum ini dipegang oleh Alisson, yang dibeli Liverpool daripada Roma pada harga 65 juta pound (RM340.04 juta) pada bulan lalu.
Kepa akan tiba di Stamford Bridge dalam masa terdekat selepas Chelsea menjual penjaga gol Belgium, Courtois kepada Real dengan nilai 35 juta pound (RM183.57 juta)
“Saya hanya mahu peminat tahu bahawa saya tidak sabar dan teruja untuk memulakan aksi bersama kelab.
“Saya perlu bekerja keras untuk memastikan diri saya dalam keadaan terbaik dan kita mampu mengharungi musim yang cemerlang bersama.
“Saya telah bercakap dengan beberapa pemain Sepanyol sebelum datang ke sini: Cesar Azpilicueta, Alvaro Morata, Pedro.
“Mereka memberi maklum balas yang baik mengenai kelab, dan pandangan mereka membantu saya membuat keputusan penting dalam karier dan kehidupan saya.
“Saya sudah bersedia untuk menjadi yang terbaik,” kata Kepa. – AGENSI










