Kementerian Kesihatan tidak galak rawat HFMD guna kaedah tradisional - Utusan Malaysia

Kementerian Kesihatan tidak galak rawat HFMD guna kaedah tradisional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kementerian Kesihatan tidak menggalakkan ibu bapa atau penjaga merawat pesakit yang dijangkiti wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) melalui perbuatan tradisional atau alternatif. 

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, pesakit yang disyaki dijangkiti wabak tersebut perlu dibawa berjumpa doktor terlebih dahulu bagi menganal pasti tahap jangkitan yang dialami.

“Memang ada cara tradisional yang digunakan untuk merawat HFMD namun kita tidak menggalakkannya.

“Apabila seorang kanak-kanak disyaki dijangkiti wabak ini, segera bawa ke klinik untuk berjumpa doktor bagi mengenal pasti keseriusan jangkitan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Saintifik Pakar-pakar Perubatan Keluarga Ke-21 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Perak, Dr. Ding Lay Ming dan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia, Dr. Norsiah Ali.

Tambah Boon Chye, kebanyakan jangkitan HFMD adalah tidak serius dan mereka yang dijangkiti itu boleh pulih dengan sendiri.

“Setakat tahun ini, hanya dua kematian direkodkan berbanding jumlah kes yang begitu banyak dan tiada kematian dicatatkan pada tahun lalu dan sebelumnya,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN