Gadis desa itu kaya sopan santun
semanis senyum tersungging di bibirnya
seakan menyatakan bahawa dirinya suci
tak pernah dihinggapi debu-debu kota
yang mampu melenyapkan rupa diri sebenar
Kemboja putih berkembang jelita
asyik bermain-main dengan wanginya sendiri
tapi sesetengah insan bau itu malah menyeramkan
namun bagiku ia menjadi lambang kesucian
di sisi pusara yang tak jemu-jemu mengingatkan
tentang mati yang pasti namun sering terlupa oleh banyak orang
mungkin juga doa dan ingatan
yang dialirkan untuk seseorang
yang dicintai seperti bonda
Bungamu, kemboja
tersenyum di sudut pusara
kesendirian dan kesunyian
inikah kisah sebuah jiwa yang tabah
bagai rindu yang tak sampai
bagai cinta tak berbalas
namun tidak menangis
menikmati nasib buruk
penuh reda
MOHD ADID AB RAHMAN
Jasin, Melaka










