BACHOK 2 Ogos – Lebih 12,000 orang dijangka membanjiri Kejohanan Muaythai Kuda Merah dan Festival Motosikal 2018 di Pantai Irama Bachok pada Ahad dan Isnin ini.
Kejohanan yang dianjurkan Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok serta Persatuan Sukan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK) itu turut menampilkan Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie.
Pengerusi kejohanan tersebut, Rosli Yaacob berkata, penganjuran itu bertujuan menarik pelancong tempatan dan luar negeri termasuk Thailand, Singapura serta Brunei.
Katanya, dengan penganjuran itu sekaligus dapat memperkenalkan Bachok sebagai destinasi pelancongan bagi sukan Muaythai selain mempromosikan tempat menarik-menarik di daerah ini.
“Peminat sukan tinju tempatan berpeluang menyaksikan kehebatan jaguh-jaguh sukan seni mempertahankan diri terbaik di Malaysia pada kejohanan yang cukup berprestij itu.
“Pihak kita juga turut mengadakan
kempen-kempen kebersihan dan keselamatan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat kejohanan tersebut di sini semalam.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Jajahan Bachok, Nik Mohamed Noor Ishak dan Presiden PSBNK, Datuk Seri Dr. Mohd Fared Abdul Ghani.
Menurut Rosli, pihaknya telah mengaturkan pertarungan hebat melibatkan 20 orang jaguh Muaythai terbaik di Malaysia bagi merebut tali pinggang.
Semenyata itu, katanya, Awie akan menghiburkan peminat khususnya penduduk di Pantai Bachok, Kelantan dengan persembahan dikir barat buat pertama kalinya.
“Kami mempelawa semua kelab motosikal di negara ini untuk sama-sama menyertai festival terbabit dan kami juga turut menyediakan 30 gerai jualan.
“Semua perlawanan Muaythai akan diadakan bermula pukul 8 malam manakala tiket berharga RM15 (terbuka) dan RM100 (ringside) pula boleh dibeli di melalui ejen tiket kejohanan di talian 019-2932436,” ujarnya.
Katanya, pakej turut disediakan bagu membolehkan peminat sukan tersebut mendapatkan tiket, t-shirt, stiker, cabutan bertuah dan makan malam bersama Awie. – UTUSAN ONLINE.










