KUALA LUMPUR 7 Ogos – Syarikat pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang baharu tampil menuntut kapal mewah The Equanimity yang berlabuh di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang, tengahari tadi.
Peguam yang dilantik kerajaan Malaysia mewakili 1MDB, Sitpah Selvaratnam berkata, syarikat 1MDB menuntut The Equanimity bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Syarikat itu juga percaya bahawa dana mereka mungkin telah diseleweng sebelum ini dan dibelanjakan untuk membeli kapal yang didakwa menjadi milik seorang ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.
“Mahkamah Tinggi juga sudah mengeluarkan waran tangkap dan kapal tersebut dirampas berdasarkan undang-undang di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan ke atas kapal tersebut.
Rakan peguamnya, Jeremy Joseph memberitahu, sebelum melakukan rampasan kapal tersebut, rundingan antara tiga buah negara seperti Indonesia, Amerika Syarikat dan Malaysia telah dilakukan.
“Namun demikian, kajian terperinci akan dilakukan dan siasatan mengenai dakwaan tersebut boleh mencapai sehingga tempoh enam ke sembilan bulan.
“Setakat ini, tiada sebarang aktiviti dibenarkan untuk dilakukan di atas kapal tersebut tanpa kebenaran pihak mahkamah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











