LIPIS 6 Ogos – Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun, Muhammad Aqil Haziq Ibrahim yang menghidap masalah jantung berlubang memerlukan dana kebajikan untuk menampung keperluan rawatan susulan penyakitnya selepas dibedah pada 1 Julai lalu di Hospital Kubang Kerian, Kelantan.
Ini kerana bapa kanak-kanak itu, Ibrahim Mohamed, 53, berkata, pendapatannya sebagai seorang penoreh getah tidak mampu untuk menanggung kos rawatan diperlukan.
“Saya tidak mampu membiayai kebajikan rawatan susulan anak kedua ini yang perlu berulang-alik ke Hospital Kubang Kerian kerana harga getah merudum malah terpaksa dibahagi dua dengan pemilik kebun.
“Pendapatan yang ada hanya mencukupi untuk belanja barang dapur,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku di Dataran Tok Linggi Kampung Relong dekat sini, baru-baru ini.
Sempena kunjungan dan aduan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long terpanggil untuk menyampaikan sumbangan peribadi dan barang makanan.
Ibrahim berkata, dia dan isteri, Rozirawati Awang Seman, 45, bersyukur kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat memberikan bantuan bulanan RM300 untuk membiayai Muhammad Aqil Haziq selepas dibedah, tetapi masih memerlukan dana untuk rawatan susulan.
Sementara itu, Rozirawati berkata, dia bersyukur kepada Allah SWT kerana kerajaan menanggung kos pembedahan jantung berlubang anaknya yang dihidapi sejak kecil.
“Saya mendapat maklumat kos pembedahan Muhammad Aqil Haziq mencecah puluhan ribu dan tidak mampu kami menyediakan wang sebanyak itu kerana perbelanjaan dapur pun tidak semewah orang lain, tetapi mujurlah kerajaan prihatin masalah kami,” katanya.
Menurutnya, mereka masih memerlukan bantuan pihak tertentu dan dermawan untuk rawatan susulan sambil berharap anak itu kembali ceria dan belajar seperti rakan lain.
Sementara itu, Mustapa berkata, pejabat DUN Padang Tengku akan memantau perkembangan kesihatan Muhammad Aqil Haziq dan akan memberikan bantuan kepada kanak-kanak itu.











