SUKAN Asia 1962 yang berlangsung pada 24 Ogos hingga 4 September menyaksikan beberapa perkara besar berlaku termasuk ketiadaan Israel dan Taiwan selain pemodenan luar biasa Kampung Senayan serta kawasan sekitarnya.
Akibat tekanan luar biasa daripada negara-negara Arab serta China, kerajaan Indonesia mengambil tindakan drastik untuk tidak memberi visa kepada delegasi Israel dan Taiwan, sekali gus melanggar peraturan Persekutuan Sukan Asia.
Berdasarkan kepada peraturan yang ditetapkan, temasya itu seharusnya merangkumi anggota dalam persekutuan walaupun tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik termasuk negara-negara seperti Israel, China dan Korea Selatan.
Penganjuran itu juga menyaksikan pelbagai projek mega dilakukan di Jakarta semasa di bawah pimpinan Presiden Soekarno kerana semasa pengumuman hak penganjuran diberikan pada 1958, bandar raya itu tidak memiliki kemudahan untuk menganjurkan Sukan Asia.
Soekarno memilih Kampung Senayan untuk membangunkan stadium yang dikenali sebagai Gelora Bung Karno, selain perkampungan sukan dan juga venue sukan lain di kawasan sekitarnya.
Bagi menunjukkan semangat jati diri Indonesia kepada semua, Soekarno meminta pengukir terkemuka negara itu, Sunarso membina patung selamat datang yang berbentuk remaja sedang melambaikan tangan di pintu gerbang Bundaran HI.
Tidak terhenti di situ, projek pembangunan itu diteruskan ke kawasan-kawasan lain termasuk Bandara Kemayoran yang menjadi pintu masuk utama kontinjen dari negara-negara lain.
Soekarno melihat pembangunan itu sebagai sesuatu yang diperlukan bangsanya kerana sukan merupakan alat perjuangan bangsa bagi menyatukan semua rakyat di negara itu.
Penampilan Indonesia sebagai tuan rumah tidak menghampakan. Selain menganjurkan temasya dengan jaya, negara itu turut cemerlang muncul naib juara keseluruhan menerusi 11 emas, 12 perak dan 28 gangsa.
Jepun kekal sebagai kuasa Asia dengan meraih 73 emas, 56 emas dan 23 gangsa. India (10-13-10) berada di temapt ketiga.










