KETUA jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menafikan para pemainnya terlibat dalam memulakan provokasi hingga mencetuskan pergaduhan ketika menang terhadap Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Selangor kelmarin.
![]() |
|
KIM SWEE
|
Sebaliknya Kim Swee menegaskan, pemain-pemain kebangsaan hanya fokus kepada perlawanan dan langsung tidak cuba mengganggu mental pasukan pelawat biarpun memiliki kelebihan dua gol.
Bagaimanapun, Kim Swee yakin insiden tersebut berlaku disebabkan mental para pemain UAE mula goyah memandangkan pasukan dari Asia Barat itu tidak dapat menerima kekalahan kepada skuad Asia Tenggara seperti Malaysia.
“Situasi berlaku bermula daripada pasukan lawan dan kami terpaksa mempertahankan diri. Pegawai rasmi kami terpaksa mempertahankan pemain kami.
“Ini perkara yang harus dilakukan untuk melindungi sesiapa sahaja tetapi seperti saya tegaskan, insiden ini datang daripada pasukan lawan, kami tidak melakukan provokasi atau apa-apa.
“Jika kami melakukan provokasi, ia adalah salah pemain negara tetapi saya tidak melihat mereka bersalah, malah sentiasa mengingatkan agar tidak melakukan perbuatan sebegitu.
“Apabila kamu menentang pasukan dari Asia Barat terutama UAE, mereka sudah biasa mengalahkan kita. Namun, apabila kita berjaya mengatasi mereka, perkara seumpama ini akan berlaku tetapi akhirnya pemain-pemain harus pelajari sesuatu,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Kelmarin, pasukan bimbingan Kim Swee meraih kemenangan bergaya 2-0 terhadap skuad UAE B-23 tetapi kejayaan itu dicemari pergaduhan bermula daripada pemain pasukan pelawat, Mohamed Khalfan Al-Harazi yang bertindak menumbuk pemain pertahanan negara, Adib Zainudin pada penghujung perlawanan.
Tindakan Khalfan itu mencetuskan pergaduhan besar antara kedua-dua pasukan sehingga melibatkan barisan pemain serta jurulatih-jurulatih di bangku simpanan.











