JPJ keluarkan 346 notis kepada pemandu warga asing - Utusan Malaysia

JPJ keluarkan 346 notis kepada pemandu warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sebanyak 346 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap pemandu warga asing dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PEWA) yang diadakan sekitar Lembah Klang bermula Isnin sehingga hari ini.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ismail Mohd. Zawawi berkata, dalam operasi yang dijalankan itu seramai 145 warga asing memandu pelbagai jenis kenderaan telah diperiksa.

Menurutnya, warga asing yang diperiksa terdiri daripada 70 warga Myanmar, Indonesia (23), India (11), Pakistan (7), Bangladesh (6), Nepal (2), dan lain-lain (26). 

“Antara kesalahan yang dilakukan mereka ialah tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh. Motosikal dan kenderaan lain dipandu mereka akan disita,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi PEWA di Jalan Ampang di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memberi tempoh selama tiga bulan bagi pemilik berdaftar menuntut semula kenderaan mereka sebelum tindakan lanjut diambil. 

“Operasi ini dijalankan bagi memastikan warga asing mematuhi peraturan jalan raya yang sudah ditetapkan di negara ini,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN