JOHOR BAHRU 9 Ogos – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya tidak menjadikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti sarkas.
Sultan Johor bertitah, semua ADUN perlu menjaga adab dan tatatertib ketika berada dan berbahas dalam persidangan DUN.
“Saya harap Speaker DUN akan menjalankan tugasnya dengan cekap dan tegas bagi memastikan perbahasan dibuat dengan berhemah dan teratur.
“Sekiranya ada ADUN yang bertindak melampui batas dan melanggar peraturan yang telah ditetapkan, maka arahkanlah mereka supaya keluar dari dewan ini,” titahnya.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini sebentar tadi.
Sultan Ibrahim bertitah, persidangan DUN kali ini melakar sejarah kerana buat pertama kalinya berlaku perubahan yang menyeluruh kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri.- UTUSAN ONLINE











