SAYA tidak berminat menulis hal-hal politik. Tetapi itu tidak bermakna saya tidak mengambil tahu. Rasanya, ramai pun bersikap begitu. Mengikuti dalam diam. Tidak perlu bising-bising. Tidak perlu berkeluh kesah di media sosial. Tidak perlu tunjuk pandai. Kita pun ada banyak perkara lain hendak fikir dan lakukan. Kalau tidak puas hati, tidak bagus, bila tiba hari mengundi, bertindak. Itu saja.
Tetapi ada kalanya dalam kita diam begitu, kita pula jadi stress, rasa terbakar hati dan naik angin apabila pemimpin-pemimpin parti politik termasuk yang berjawatan menteri mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak perlu atau dengan kata lain, lebih baik diam daripada berkata-kata.
Yalah, sudah menjadi orang penting dan menjadi tumpuan masyarakat, mahu tidak mahu, rakyat yang malas ambil tahu pun bagaikan ditarik-tarik telinga untuk mendengar kenyataan yang tidak masuk akal dan ulasan yang tidak menggambarkan pemimpin ini berilmu.
Yang tidak perlu diusik, dia usik, yang tak payah dikacau dia kacau, yang tidak sepatutnya ada mahu diada-adakan, yang sudah cukup dia tokok tambah dan hal yang remeh-temeh diperbesarkan. Yang menghairankan isu-isu yang dituntut rakyat dalam memberi kemudahan dan kesenangan kepada mereka, tidak pula disibukkan. Asyik bercakap hal yang merapu saja.
Pemimpin perlu tahu dan ingat bahawa rakyat melihat kewibawaan mereka. Yang penting pemimpin sepatutnya seorang yang bijaksana. Malah perlu lebih bijak daripada rakyat, sebab itu dia diangkat menjadi pemimpin. Bukan biasa-biasa yang hanya pandai bercakap dan bila bercakap pula menimbulkan kemarahan dan keresahan orang ramai.
Sebenarnya, rakyat tidak kisah pun, seorang pemimpin itu pandai berpidato atau berdebat, pandai menonjolkan diri, bercakap berdegar-degar, mempunyai ramai followers di media sosial dan sebagainya yang membuatkan dirinya nampak cukup hebat.
Yang rakyat kisahkan, mereka tidak mahu hidup susah. Berpendapatan setimpal dengan kerja atau kelayakan dan tidak tersekat di takuk lama, tidak mahu membayar harga barang atau apa-apa perkhidmatan dengan harga yang tinggi, selamat bergerak ke sana ke sini, mendapat kemudahan pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam yang baik dan tidak dibebankan dengan dasar-dasar, peraturan-peraturan dan kerenah birokrasi yang entah apa-apa.
Tak payahlah cerita pasal sejarah, kalau bukan pakar sejarah, siapa masuk negara ini dulu, siapa pula kemudian. Siapa pendatang dan siapa pula patut balik ke negara asal masing-masing. Apakah tujuannya? Adakah ini boleh mengurangkan kos sara hidup rakyat?
Hakikatnya pun, rakyat di negara ini tidak mahu dengar cerita-cerita perkauman. Mereka sudah lama hidup bercampur. Bukan jadi kera sumbang. Hidup hormat menghormati semua orang. Saya dulu bersekolah rendah dan menengah di sekolah mubaligh Kristian di Kuala Lumpur. Semua kaum ada di situ dan sehingga sekarang hubungan saya dengan rakan-rakan sekelas cukup baik, masih berhubung, sesekali berjumpa dan bertanya khabar.
Jadi tidak perlulah ada pemimpin yang mahu jadi ‘kacang hantu’. Kacau sana. Kacau sini. Buat sajalah kerja-kerja untuk rakyat dan memajukan negara ini, bukan memecahbelahkan rakyat sekali gus menjahanamkan negara.
Tidak kiralah dari parti kerajaan atau pihak pembangkang, rakyat mahukan pemimpin-pemimpin yang betul-betul ikhlas buat kerja dan menyelesaikan isu-isu rakyat dan negara dengan bijak dan berkesan. Jangan sebab sebenarnya tidak tahu buat kerja, hanya pandai bercakap saja, maka terpaksalah menonjolkan diri dengan cara menarik mana-mana kaum untuk menyebelahinya.
Bila rakyat marah dan tersentuh dengan apa yang diperkatakan, tarik balik kenyataan dan minta maaf. Kadang-kadang tidak semua hal boleh selesai dengan cara minta maaf.
Berpolitiklah secara matang dan bijak. Tidak rugi apa-apa jika berlaku bijak. Kalau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak menunjukkan pemimpin itu berilmu, sekejap cakap akan laksanakan, sekejap cakap kaji balik, tidak tahu atau yakin dengan apa yang dicakapkan, itu akan merugikan parti yang diwakilinya dan dirinya sendiri.
Dan agak memalukan, budak-budak pun boleh ketawa, apabila pemimpin mengeluarkan komen-komen yang tidak cukup pandai apabila menjawab dalam menangani satu-satu isu. Malulah sikit dekat budak-budak!










