Jangan Benci Cintaku raih 12 juta tontonan - Utusan Malaysia

Jangan Benci Cintaku raih 12 juta tontonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Cinta tiga segi antara Shah, Fika dan Husna menerusi drama Jangan Benci Cintaku yang disiarkan menerusi slot Akasia TV3 telah mencetuskan fenomena.

Lakonan hebat Saharul Ridzwan, Zahirah MacWilson dan Niena Baharun ini berjaya memberi kesan yang mendalam sehingga mempengaruhi emosi para penonton.

Watak Husna yang dilakonkan oleh Niena menjadi watak yang paling banyak menerima kritikan, sehingga pelakon itu sendiri menerima cacian dan ugutan daripada warganet yang terlalu obses dengan drama tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Siti Nurlisia Mohd. Nadzri berkata, kelainan jalan cerita drama tersebut salah satu faktor yang menyumbang kepada jumlah rating yang tinggi.

“Seringkali jalan cerita drama-drama slot Akasia telah dilabelkan sebagai klise.

“Namun dengan kejayaan drama Jangan Benci Cintaku yang berjaya mendapat rating terkumpul sebanyak 12 juta penonton untuk 28 episod dan melebihi 5 juta tontonan dalam YouTube dan portal video tonton ini membuktikan bahawa jalan cerita yang mempunyai plot twist sebegini menarik minat penonton.

“Ia mempunyai tarikannya tersendiri sehingga membuatkan para penonton tidak berganjak dari kaca TV, menjadi tular serta berada di tangga nombor satu dalam platform media sosial seluruh dunia.

“Kami ingin berterima kasih kepada semua peminat yang sentiasa memilih drama-drama kami sebagai pilihan utama mereka,” ujarnya.

Drama Jangan Benci Cintaku berakhir semalam dan diganti dengan drama baharu berjudul Cinta Bukan Kristal lakonan Sharnaaz Ahmad dan Ayda Jebat. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×