KUALA LUMPUR 10 Ogos – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia mencatatkan peningkatan perlahan sebanyak 1.1 peratus pada Jun 2018 berbanding bulan yang sama tahun lepas disokong pertumbuhan dalam indeks pembuatan dan elektrik, kata Jabatan Perangkaan.
![]() |
|
Mohd . Uzir Mahidin
|
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata, output sektor pembuatan meningkat 4.5 peratus pada Jun 2018 selepas merekodkan pertumbuhan 4.1 peratus pada Mei 2018, dipacu sub-sektor utama seperti produk peralatan elektrik dan elektronik (5.4 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.4 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.2 peratus).
Beliau berkata, output sektor elektrik naik 3.0 peratus pada Jun 2018 selepas mencatatkan peningkatan 2.6 peratus pada Mei 2018.
“Sementara itu, output sektor perlombongan merekodkan penyusutan 9.4 peratus pada Jun 2018 bagi tempoh sama tahun lepas disebabkan penyusutan dalam Indeks Gas Asli (-15.7 peratus) dan indeks Minyak Mentah (-2.2 peratus),” katanya. – BERNAMA












