RETREAT atau pemukiman UMNO di Janda Baik, Pahang selama dua hari bermula esok, bukan biasa-biasa.
Ia retreat pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan UMNO yang berusia 71 tahun menunjangi Barisan Nasional (BN) yang berkuasa selama 61 tahun kecundang dalam sejarah demokrasi Malaysia.
Maka sesiapa pun pemimpin UMNO dari peringkat bahagian, negeri, waima Majlis Tertinggi (MT) atau sayap-sayapnya (tidak pasti siapa pesertanya) yang akan melangkah ke retreat ini perlu membawa ‘buah tangan’ dan komitmen yang luar biasa.
Kalau sekadar pergi ke Janda Baik untuk mengkritik atau mengingatkan supaya ‘parti harus berubah, berubah, berubah’, itu tidak cukup, tidak akan ke mana. Datanglah kali ini dengan idea-idea yang lebih tajam, catchy dan kemudian jalanterus (seperti mana ungkapan anak-anak muda hari ini), itu lebih dialu-alukan.
Barangkali dalam kalangan orang UMNO, mereka ada menerima mesej daripada aplikasi WhatsApp bahawa UMNO dikatakan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis Sabtu lalu disebabkan 9,599 pengundi solid Melayu.
‘Statistik’ dari buku daftar Pemilih Ejen Calon memaparkan berikut:
1. BN – 9,599 undi
- 9,110 Melayu
- 489 bukan Melayu)
2. Pakatan Harapan (PH) – 15,372
- 3,333 Melayu
- 10,667 Cina
- 1,372 India
Adakah ‘statistik’ ini fakta atau sekadar denial syndrome? Tetapi yang penulis boleh sahkan, ‘statistik’ di atas bukanlah dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). SPR, setahu penulis tidak semak itu semua kerana sebaik sahaja pusat mengundi ditutup, semua dokumen akan disimpan dalam peti yang dikunci rapi.
Maka kalau begitu, tentunya setiap ejen calon mempunyai set daftar pemilih dan mereka akan menanda setiap individu yang datang mengundi. Seramai 25,109 pengundi?
Namun, andai kata tepat statistik tadi, itu suatu dorongan semangat kepada UMNO kerana dikatakan ada ‘hati dan perasaan orang Melayu yang sudah tercuit dan tersentak’ dengan beberapa dasar yang diambil oleh pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari ini.
Biarpun sama ada perasaan ini terarah kepada yang benar berlaku atau sengaja ‘disensasikan’, kelmarin Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titahnya telah mengingatkan semasa merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh:
“Jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Negara.
“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa, bagaikan kancil terhimpit mati di tengah-tengah, apabila gajah sama gajah memilih untuk terus bertarung.”
Tegas Sultan Nazrin, perkara-perkara asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan menyentuh Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu terus dipertahankan dan tidak dikompromikan.
Dan melangkah ke retreat UMNO kali ini, adakah parti ini masih terikat gaya fiil-fiil lama yang masih mengongkong? Lantas ini menyebabkan tiada kesediaan untuk melakukan pembaharuan dalam tempoh seberapa segera mungkin?
Realitinya susah mahu berubah, kerana sudah biasa bak kata orang “alah bisa tegal biasa”. Disahut untuk berubah tetapi apabila pulang ke kawasan masing-masing, tiada berlaku sebarang perubahan atau lambat berlaku kerana tidak adanya sense of urgency.
Atau kesediaan untuk menyegerakan perubahan selepas berada dalam sindrom selesa agak panjang?
Sebab itu pelan tindakan yang dilaksanakan semua peringkat UMNO harus diperhalusi dan disegerakan. UMNO akan melangkah masuk ke dua gelanggang PRK lagi. Meskipun dua PRK itu masing-masing di Balakong bakal ditandingi oleh MCA, sementara Pas di Seri Setia, UMNO masih bertanggungjawab memainkan peranannya.
Aturkan gerak kerja daripada segi soal perubahan yang akan dilaksanakan seperti program-program yang dinamik terutama bijak mencatur media sosial.
Biar rakyat dapat lihat sudah ada perubahan dan dinilai secara positif. Keraplah berbincang dalam pertemuan-pertemuan yang akan diadakan.
Diyakini dalam pertemuan dua hari di Janda Baik nanti, semua kepemimpinan di peringkat perhubungan UMNO telah pun menggariskan inisiatif-inisiatif yang akan dijalankan seberapa cepat yang boleh.
Setiap negeri mempunyai perancangan, pelan tindakan yang akan disusun bukan sahaja di peringkat negeri tetapi yang tidak kurang penting ialah di peringkat bahagian yang mencakupi cawangan ataupun sayap-sayap pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO.
Dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan, perlu ada tinjauan semula untuk dilakukan. Dan kesan daripadanya terdapat kesan positif kepada rakyat.
Touch point adalah perkara yang dikehendaki oleh masyarakat. Jika langkah-langkah ini dilakukan, walaupun kecil tetapi cukup bermakna bagi masyarakat. Kalau dapat dilakukan masyarakat akan terpanggil untuk kembali menilai UMNO.
Di Janda Baik harus ada ikrar dan tekadnya.










