PASIR PUTEH – Seorang suri rumah maut manakala bayinya berusia setahun cedera selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Pekan Cherang Ruku, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5 petang, mangsa, Tang Sin Xiang, 41, meninggal dunia di tempat kejadian selepas diseret lori berkenaan sebelum merempuh kedai di selekoh berhampiran.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian di Kilometer 14.2, Jalan Pasir Puteh-Semerak itu berlaku semasa mangsa menunggang motosikal Yamaha 100 bersama bayinya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gong Keding di sini.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila motosikal yang ditunggang mangsa dari Semerak ke Pasir Puteh telah membelok ke kanan sehingga menyebabkan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan lalu bertembung dengan motosikal tersebut.
“Akibat kejadian, mayat mangsa bersama motosikal berada bawah sisa rempuhan kedai makan selepas diseret lori. Mayatnya dihantar ke Hospital Tunku Anis Pasir Puteh untuk bedah siasat. Anak mangsa dirujuk ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Pemandu lori yang beralamat di Kampung Kayu Kelat, Besut, Terengganu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Katanya, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) untuk dihantar ke Puspakom bagi tindakan lanjut dan kes masih disiasat di mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, pemilik kedai makan terbabit, Amaran Nani, 59, berkata, ketika kedai itu dirempuh ahli keluarganya berada di bilik belakang.
“Nasib baik kami tidak membuka perniagaan pada hari ini kerana kawasan rempuhan itu sebahagiannya adalah tempat meletak lauk-pauk dan tempat duduk pembeli.
“Ini adalah kali kedua kedai kami dirempuh. Beberapa tahun lalu sebuah lori ais merempuh masuk ke dalam kedai namun tiada kemalangan jiwa berlaku seperti hari ini,” katanya. – K! ONLINE










