PENYAKIT tangan, kaki dan mulut (HFMD) mungkin kedengaran biasa, malah ada ketika dilupakan masyarakat. Namun ketika ini, penyakit berkenaan kembali menghantui ibu bapa di negara ini apabila kematian pertama yang disyaki akibat HFMD telah dilaporkan pada 28 Julai lalu melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan berasal dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah, Sarawak.
Mungkin kematian kanak-kanak tersebut dilihat sebagai kes terpencil, namun wabak sama pernah berlaku di negeri itu pada 1997 melibatkan sebanyak 2,628 kes dengan 31 kematian (29 kes disahkan meninggal kerana Enterovirus 71 (EV71)).
Wabak kedua menyerang kembali pada 2006 dengan 80 peratus kes melibatkan kanak-kanak berumur di bawah tujuh tahun dengan seramai 12 orang pesakit meninggal dunia berusia lapan bulan hingga lima tahun.
Walaupun kes kematian berkenaan seolah-olah dilihat tidak terlalu merisaukan memandangkan ia dikatakan ‘disyaki’ akibat HFMD, hakikatnya masyarakat perlu lebih waspada dan meningkatkan kefahaman tentang penyakit berkenaan.
Bukan sekadar memborong tisu basah antibakteria di farmasi semata-mata atau tidak membenarkan anak-anak dicium atau disentuh orang, kefahaman dan kesedaran tentang bagaimana penyakit berkenaan boleh merebak juga amat penting ketika ini.
Peningkatan sebanyak 28 peratus melibatkan kes HFMD iaitu sebanyak 27,296 kes berbanding hanya 21,303 kes pada tempoh yang sama tahun 2017 seperti yang dilaporkan Kementerian Kesihatan, seharusnya menjadi ‘tanda aras’ buat ibu bapa untuk lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan anak-anak.
Menurut Pakar Kesihatan Masyarakat dan Ketua Jabatan serta Pensyarah Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Azlin Muhammad Mohd. Yasin, penyakit HFMD disebabkan oleh virus dari keluarga entrovirus yang sangat cepat menular dan senang berjangkit kepada manusia sekeliling, yang mana kadarnya boleh berlaku 100 peratus dalam kalangan kanak-kanak pada masa singkat.
Katanya, tempoh inkubasi iaitu dari masa virus dipindahkan kepada pesakit hingga munculnya gejala adalah tiga hingga tujuh hari.
Apa yang lebih menakutkan, tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah jangkitan penyakit berkenaan.
“Penyebab kes di negara ini adalah daripada EV71 dan virus Coxsackie (CA16) dan ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tidak kira paras imun sistem.
Namun, tetapi jika pesakit yang dijangkiti mempunyai masalah kesihatan yang lain seperti asma dan ekzema, ia akan memburukkan lagi simptom dan komplikasi jangkitan.
“Apa yang paling dibimbangkan adalah komplikasi EV71 terutama kanak-kanak di bawah empat tahun iaitu radang selaput otak, radang selaput jantung, dehidrasi dan paru–paru berair, yang semua ini boleh menyebabkan kematian.
“Pun begitu, mengikut prognosis, hampir kesemua kes yang tiada komplikasi akan sembuh sendiri selepas tujuh hingga 10 hari,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Unit Kawalan Infeksi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr. Sharifah Azura Salleh berkata, enterovirus hidup di dalam saluran gastrousus manusia (sistem penghadaman), maka ia mudah merebak dari individu ke individu lain dengan kaedah sentuhan secara langsung.
Jelasnya, dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama ia merebak melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas menukar lampin atau tersentuh air liur yang boleh menyebabkan virus berpindah.
“Virus enterovirus adalah virus yang tidak mempunyai selaput dan ia boleh bertahan dengan tekanan alam sekitar seperti suhu tinggi dan kekeringan, malah boleh hidup di permukaan persekitaran sehingga dua minggu.
“Justeru, pencegahan melibatkan penjagaan kebersihan adalah paling utama iaitu seluruh ahli keluarga, penjaga taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pengasuh perlu.
“Mereka perlu mengamalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun terutama selepas menyentuh sebarang kesan lepuh pada kulit, sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis.
“Memandangkan HFMD tiada rawatan yang khusus, semburan yang mengandungi klorin amat digalakkan dengan nisbah yang betul. Semburan dibuat pada permukaan atau alat permainan yang tercemar dan bukannya disembur pada kulit,” katanya.
Dalam keadaan kritikal ketika ini, teguran harus dibuat pada pengiklan, yang tidak sepatutnya mengambil kesempatan mempromosikan produk masing-masing dengan mengatakan mampu menghindari virus HFMD dan menggunakan tagline ‘mampu membunuh 99 peratus kuman’, yang hakikatnya hanya sekadar gambaran tidak tepat.
Buat ibu bapa pula, tidak salah rasanya menjadi ibu bapa yang sedikit paranoid dengan cuba mengelakkan membawa anak-anak ke tempat tumpuan seperti pusat beli-belah, taman permainan, taman tema serta tempat terlalu ramai orang bagi mengelakkan jangkitan HFMD terutama jika anak-anak pernah menghidap penyakit berkenaan.










