SEJAK kebelakangan ini, ramai yang bercakap tentang gejala kemurungan. Ini seiring dengan laporan-laporan di media massa dan media cetak tentang insiden penderaan, pergaduhan, mahu pun bunuh diri yang berlaku akibat kemurungan atau depression. Terbaharu, seorang kakitangan sebuah sekolah yang dikatakan cuba membunuh diri bersama anak-anaknya dari atas jambatan di Batu Pahat Johor dan seorang guru yang maut kerana terjun dari sebuah pusat beli-belah lima tingkat di Ipoh adalah dilaporkan berasbabkan kemurungan.
Melalui laporan-laporan sebegini, kita dihidangkan dengan pelbagai andaian mengenai kemurungan yang menyebabkan golongan sebegini tidak memikirkan lagi sempadan dan kewarasan dalam bertindak. Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkannya berasa sedih berpanjangan, keletihan, ketiadaan tenaga dan cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Banyak punca berlakunya kemurungan dalam diri seseorang. Menurut Portal Kementerian Kesihatan Malaysia antaranya disebabkan oleh pewarisan penyakit kemurungan daripada generasi keluarganya terdahulu atau persekitaran ekoran peristiwa hidup seperti kegagalan, kematian, atau bencana yang melanda dan kekurangan sokongan keluarga dan sosial. Kemurungan turut boleh terjadi apabila seseorang mempunyai penyakit lain seperti gangguan fungsi thyroid hypothyroidism atau penyakit kronik lain. Kemurungan juga secara psikologinya berpunca daripada gaya dan corak pemikiran seseorang yang melibatkan bagaimana persepsi seseorang kepada diri sendiri, kehidupan dan dunia keseluruhannya.
Kita lihat kehidupan orang sekeliling sentiasa kelihatan gembira, penuh hilai ketawa dan serba-serbi bahagia yang bukan indikator jelas kepada kemurungan. Silap-silap, anak-anak, keluarga terdekat mahu pun diri kita sendiri adalah penghidap kemurungan. Ada dalam kalangan kita yang terus menerus menidakkan bahawa mereka ada menunjukkan simptom kemurungan walau pun ia masih di peringkat awal.
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan lebih kurang 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas atau 29 peratus populasi negara menghidapi pelbagai masalah mental termasuk kemurungan. Secara mudahnya, satu pertiga rakyat Malaysia mempunyai masalah mental.
Pakar psikologi dan perubatan mencadangkan banyak langkah pencegahan dan pembetulan yang perlu diambil secara proaktif dalam membendung kemurungan daripada menjadi kronik dan membahayakan penghidapnya dan orang di sekelilingnya. Antaranya, kita perlu ketahui penyakit kita dengan cara berjumpa dengan pakar psikiatri atau doktor dan mendapatkan konsultasi daripada mereka.
Seterusnya, patuh kepada ubat-ubatan dan rawatan susulan andai dinasihatkan sebegitu oleh pakar perubatan. Kemudian, amalkan cara berfikir yang positif dan tenang dan menguruskan konflik-konflik yang boleh memekarkan tekanan dan kemurungan. Gaya hidup yang sihat perlu menjadi amalan dengan cara bersukan, berekreasi atau melakukan aktiviti fizikal yang boleh membuat kita rasa gembira, dapat bersosial dengan keluarga dan rakan-rakan dan memenuhi hobi atau aktiviti kegemaran kita.
Begitupun, Islam memberi panduan yang berbeza dalam mengatasi masalah kemurungan. Manusia secara fitrahnya dipengaruhi oleh unsur dalaman yang terdiri daripada perasaan, jiwa dan nafsu. Sekiranya unsur-unsur tersebut mengalami gangguan, maka ia akan mempengaruhi tingkah laku dan perbuatannya. Bijak pandai bidang agama menegaskan bahawa proses penyembuhan kemurungan dan masalah mental lain adalah secara kerohanian. Ia dilihat sebagai alternatif terbaik untuk merawat penyakit-penyakit mental ini dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, mendirikan solat, bacaan zikir, doa-doa lazim dan khusus, bermunajat dan melakukan amar ma’aruf sebagaimana yang digariskan oleh syariat Islam.
Islam menggalakkan umatnya supaya menjadi generasi yang cergas, cerdas dan bersemangat untuk menghadapi cabaran kehidupan yang sememangnya menekan emosi dan jiwa. Islam menggalakkan kita menyeimbangkan juga usaha membendung penyakit mental ini secara fisiologi atau lahiriah. Antaranya, menjaga kesihatan diri melalui pemakanan seimbang dan mengikut sunnah dan aktiviti fizikal dan riadah.
Islam juga menyarankan melalui panduan Sunnah Rasulullah SAW yang sangat banyak dalam hal pembentukan silaturahim dan hubungan sosial yang baik dalam masyarakat. Kecenderungan untuk bersendirian adalah terma dan petunjuk kepada penyakit mental yang mana kurangnya asimilasi, komunikasi, dan perkongsian aspirasi bersama pihak lain secara kolektif.
Ini seterusnya akan membawa kepada sikap suka menyimpan dan memendam rasa tanpa mendapatkan bantuan dan pandangan pihak lain. Hubungan yang erat antara ahli keluarga dan masyarakat sekeliling berupaya merangsang pemikiran, emosi dan perasaan yang lebih seimbang, bersemangat dan bermotivasi dalam meneruskan kelangsungan hidup.
DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah Pensyarah Kanan Program Dakwah Dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










