ISTANBUL – Penjaga gol baharu Burnley, Joe Hart muncul wira selepas berjaya membantu pasukannya mengikat Istanbul Basaksehir dalam pusingan kelayakan ketiga Liga Europa yang berlangsung di Stadium Fatih Terim awal bagi semalam.
Sebagai rekod, Hart yang ditandatangani oleh Burnley dari Manchester City pada awal minggu ini dengan nilai perpindahan sebanyak £3.5 juta (RM18.2 juta) tidak mempunyai masalah untuk mempamerkan rentak cemerlang pada aksi debutnya itu.
Pada perlawanan tersebut, penjaga gol antarabangsa England itu telah menafikan dua peluang keemasan milik Basaksehir menerusi percubaan Junior Caicara dan Manuel da Costa untuk memastikan The Clarets meraih bekalan berharga menjelang aksi kedua di laman sendiri minggu depan.
“Secara keseluruhan, saya rasa ini adalah perlawanan yang cukup sukar kerana bukan mudah untuk barisan pemain saya yang kebanyakannya tiada pengalaman di pentas Eropah untuk mengikat pasukan berkualiti seperti Basaksehir.
“Penyokong mereka telah memberi atmosfera luar biasa buat kami tetapi saya percaya ia akan menjadikan mereka lebih positif menjelang aksi kedua di Turf Moor minggu depan,” kata pengurus Burnley, Sean Dyche selepas tamat perlawanan semalam.
Mengulas lanjut, Dyche mengakui tidak menghiraukan statistik yang menyaksikan pasukannya hanya bertahan sepanjang 90 minit dan gagal melakukan sebarang percubaan berbahaya ke gawang Basaksehir.
“Kebanyakan kelab Liga Perdana England (EPL) apabila beraksi di pentas Eropah tidak akan menguasai permainan kerana keputusan lebih utama. Kami kembali kepada asas bola sepak dan ia berjaya mendapatkan keputusan seri.
“Apa yang pasti, ini bukanlah skuad terbaik saya kerana kami hanya hadir dengan 17 pemain utama kerana kebanyakan pemain kami masih mengalami kecede-raan,” katanya. – Agensi











