SHAH ALAM 8 Ogos – Pertama gali digandingkan sebagai pasangan pengacara untuk mengendali Big Stage Live Plus, Harris Annuar, 25 dan Eyra Hazali, 19, akui berasa gementar dan gemuruh meskipun program tersebut disiarkan secara dalam talian (online) di www.bigstage.com.my pada setiap Ahad.
Menurut Harris, biarpun sudah biasa merakamkan klip video dan memuat naik ke laman Instagram miliknya, namun debaran mengacarakan sebuah program besar amatlah berbeza.
“Ya, sebelum ini memang nampak mudah seperti yang biasa saya lakukan di media sosial. Namun, pada Ahad lalu ketika kali pertama program tersebut berlangsung, ternyata impaknya berlainan.
“Hati saya berdebar-debar, degupan jantung pun laju lain macam. Nasib baik ada Eyra di sisi yang membantu menenangkan saya,” katanya.
Tambah Eyra pula, mereka berdua saling memerlukan antara satu sama lain untuk memastikan keadaan terkawal.
Walaupun sesekali bertindak untuk memberi kata-kata dorongan kepada Harris, heroin drama Mr. Grey itu memberitahu keberadaan jejaka berkenaan di sampingnya dapat meredakan debaran.
“Kami berdua orang baharu dalam lapangan ini. Jadi, kami perlukan antara satu sama lain sebagai pembimbing rakan sebaya.
“Sebelum itu, tak dinafikan kami telah membuat latihan dan apabila tiba waktu untuk bersiaran, senarionya yang dirasakan berbeza,” ujarnya.
Justeru, Harris dan Eyra berharap agar penonton program Big Stage Live Plus terus memberikan sokongan kepada mereka untuk menjayakan rancangan televisyen dalam talian berkenaan. – UTUSAN ONLINE










