ALOR SETAR 2 Ogos – Jumlah penduduk di Kedah yang menikmati insentif bekalan air percuma seperti diberikan ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini berkurangan daripada 220,000 akaun pengguna domestik sebelum ini kepada hanya 60,000 saja.
Sumber memaklumkan, pengurangan tersebut bermula bulan ini iaitu kira-kira sebulan selepas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan bahawa kerajaan negeri sedang mengkaji semula mekanisme pengecualian caj bekalan air berkenaan.
“Bermula 1 Ogos, Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan mengecualikan caj bekalan air di bawah RM10 seperti dinikmati sebelum ini hanya kepada golongan yang berdaftar dengan sistem e-kasih dikelolakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) saja.
“Justeru mereka yang pernah menikmati perkhidmatan itu perlu memeriksa betul-betul bil air masing-masing. Jika tiada lagi perkataan ‘subsidi’ pada bil dan jumlah perlu dibayar tidak lagi menunjukkan angka 0.00, itu bermakna mereka perlu membuat bayaran mengikut jumlah yang tertera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Pada 27 Jun lalu, Mukhriz dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman menyatakan, kerajaan negeri sedang mengkaji perkara tersebut bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dapat menikmati insentif berkenaan.
Menurutnya, tindakan untuk menampung caj tersebut yang mencecah sehingga kira-kira RM1.5 juta sebulan atau RM18 juta setahun menjadi bebanan kepada kerajaan negeri ketika Kedah diketahui umum bukanlah sebuah negeri yang mempunyai pendapatan tinggi.
Perkara itu merupakan antara yang termaktub dalam Bajet 2018 dibentangkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah pada 12 November tahun lalu dan mula dilaksanakan pada Januari tahun ini dengan pengguna yang menggunakan air sebanyak 20 meter padu atau RM10 ke bawah tidak perlu membuat pembayaran kerana diberi subsidi oleh kerajaan negeri.
Mengulas lanjut sumber itu berkata, jumlah penerima manfaat tersebut selepas ini mungkin juga akan bertambah bergantung kepada kemas kini senarai individu berdaftar dengan sistem e-kasih.
“Mana-mana pengguna yang merasakan mereka layak untuk terus menerima manfaat tersebut perlu mendaftar dengan sistem e-kasih terlebih dulu sebelum pihak SADA meneruskan pengecualian buat mereka,” katanya.










