Grolet cef pastri Perancis - Utusan Malaysia

Grolet cef pastri Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TATKALA Cedric Grolet mengeluarkan pisau pastri miliknya, ramai orang akan terpesona.

Pakar pembuat roti atau patissier dari Perancis itu menjadi terkenal pada bulan lalu selepas dipilih sebagai bintang Instagram dalam The World’s 50 Best Restaurants.

Rakaman video dia memotong buah palsu ciptaannya yang sangat cantik berjaya menarik jutaan tontonan di media sosial.

Berjuta-juta penonton terliur melihat imej-imej buah pear, aprikot, limau, pic dan tomato yang dihasilkannya sehingga sebuah majalah terkenal dengan hidangan pencuci mulut berkalori tinggi, Vogue mendedahkan, ia membuatkan anda mahu menjilat skrin.

“Peminat-peminatnya menangis dan meminta tandatangan serta mahu merakam swafoto,” lapor akhbar Perancis, Le Monde.

Hasil olahannya tulen dan hanya mereka yang terpilih berkesempatan untuk merasai hidangan itu pada setiap hari di hotel terkemuka Paris, tempat dia bekerja.

Selain minum petang di Le Meurice yang menawarkan kek ciptaannya yang kadangkala perlu ditempah berminggu lebih awal, Grolet turut membuka sebuah butik kecil di lokasi itu pada Mac lalu.

Rak mempamerkan kek-kek itu akan kosong dalam tempoh beberapa jam sahaja pada setiap hari.

Bukan itu sahaja, kek kiub Rubik yang dihasilkannya berputar seakan-akan objek sebenar telah menjadi hidangan makan malam kegilaan ramai, sekali gus mendapat permintaan tinggi walaupun dijual pada harga AS$200 (RM800).

Grolet juga telah menghasilkan kek berwarna biru, putih dan merah bagi meraikan kemenangan Perancis pada kempen Piala Dunia 2018 baru-baru ini.

Sama seperti ahli pasukan bola sepak Perancis, dia juga dianggap sebagai wira.

Tat strawberi

Minat anak kepada seorang pendandan rambut dan pemandu trak berasal dari sebuah bandar kecil berhampiran Saint-Etienne di tengah Perancis itu bermula ketika dia berusia 13 tahun.

“Seorang petani memberi saya sebakul buah strawberi kerana membantunya memetik hasil tanaman. Saya membuat tat strawberi bersama mereka untuk datuk saya yang memiliki sebuah hotel di lokasi berhampiran,” katanya.

Perjalanan kariernya menjadi mudah apabila Grolet menamatkan alam persekolahan lebih awal untuk bergelar seorang pembuat roti.

“Saya akan menghasilkan roti sepanjang malam supaya saya boleh menyediakan pencuci mulut pada pukul 11 pagi.

“Satu kepuasan bagi saya apabila dapat memotong epal dan menutup tat berinti strawberi,” ujarnya.

Dia kemudian belajar membuat patisserie rumit dan mula memenangi banyak hadiah sehingga berjaya mencipta nama di Paris ketika berusia 20 tahun.

Di sana, dia bekerja dengan syarikat menghasilkan hidangan gourmet dan hidangan istimewa Perancis, Fauchon sebelum dihantar ke Beijing, China untuk membantu melatih kakitangan syarikat tersebut.

Semasa di Fauchon, dia bekerjasama dengan cef pastri terkenal Perancis, Christophe Adam di dalam makmal penyelidikannya dan membangunkan resipi baharu.

“Ia adalah impian setiap pembuat patissier, mencuba perkara baharu pada setiap hari,” katanya,

Sama seperti Adam yang mengasaskan L’Eclair de Genie, sebuah rangkaian restoran di Perancis dan Jepun, Grolet telah dinobatkan sebagai pembuat pastri Perancis serta menerima pujian daripada guru Macaroon, Pierre Herme sebagai salah seorang patissier paling berbakat untuk generasinya.

Grolet mengikut jejak Adam untuk mengasaskan Le Meurice yang dimiliki oleh Sultan Brunei.

Diet

Dia kini bekerja di sana sebagai cef pastri di bawah cef selebriti, Alain Ducasse yang menggesa dia lebih mementingkan rasa.

“Kecantikan visual menarik pelanggan tetapi rasa yang membuat mereka kembali,” kata Grolet.

Hasil ciptaan yang tidak terlalu manis juga telah menarik perhatian mereka yang mementingkan diet untuk beratur di luar butik mininya pada setiap hari.

Dia mula menyempurnakan rekaan kek berbentuk buah yang luar biasa sejak enam tahun lalu dengan mencipta bahagian luar kek daripada coklat manakala bahagian mousse atau marmalade pula dibuat daripada buah sebenar.

“Idea itu tidak mahu menggunakan biskut atau telur dan menumpukan kepada rasa buah sebenar,” kata Grolet.

Dia menggelarkan hidangan itu patisserie sebenar. Tat yang dihasilkannya juga kelihatan asli apabila buah dipotong halus seperti kelopak bunga.

Dengan lebih 1 juta pengikut di laman Instagram, Grolet seakan-akan sama pintar seperti telefon pintarnya. 
– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN