LONDON 9 Ogos – Manchester United pasukan paling tertekan beberapa jam sebelum pasaran perpindahan pemain ditutup hari ini apabila usaha saat akhir untuk membawa masuk beberapa bintang besar ke Old Trafford menemui kegagalan.
Sky Sports melaporkan, Red Devils telah menghubugi Atletico Madrid untuk mendapatkan Diego Godin, namun tonggak pertahanan Uruguay itu menolak tawaran tersebut.
United bersetuju membayar 25 juta euro (RM117.81 juta) untuk melepaskan Godin daripada kontraknya di Madrid, selain menawarkan gaji 9 juta euro (RM42.41 juta) semusim kepada pemain berusia 32 tahun itu.
Bagaimanapun, Godin menolak tawaran menarik tersebut untuk kekal bersama skuad bimbingan Diego Simeone, sekali gus meninggalkan pengurus United, Jose Mourinho dalam keadaan tertekan kerana masih gagal melakukan pembelian besar.
Akhbar The Sun berkata, Mourinho cuba melakukan percubaan saat akhir dengan memancing beberapa pemain daripada bekas kelab bimbingannya, Chelsea, dan bek tengah Perancis, Kurt Zouma antara yang dikaitkan.
Begitupun sumber United memberitahu ESPN, tiada usaha dilakukan untuk mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu, sebaliknya mereka berminat membeli tonggak pertahanan England, Harry Maguire namun dia tidak dilepaskan oleh Leicester City.
“Saya tidak yakin (dapat membeli pemain baharu).
“Jendela perpindahan semakin hampir ditutup hari ini, jadi buat saya, lebih baik lupakan tentangan pasaran dan fokus kepada pemain sedia ada,” kata Mourinho kepada pemberita.
Pada hari terakhir perpindahan, kemasukan penjaga gol Sepanyol, Kepa Arrizabalaga ke Chelsea menerusi rekod perpindahan dunia 71.6 juta (RM374.56 juta) menjadi tumpuan utama.
Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois pula menyertai Real Madrid dengan bayaran 35 juta pound (RM183.50 juta), manakala pemain tengah Croatia, Mateo Kovacic dipinjamkan oleh Real kepada Chelsea.
“Pemenang Sarung Tangan Emas dalam Piala Dunia terakhir (Courtois) menandatangani kontrak bersama juara Liga Juara-Juara selepas mempamerkan prestasi mengagumkan di Rusia.
“Selepas menjalankan ujian perubatan pada Khamis lalu (9 Ogos), dia diperkenalkan secara rasmi di Santiago Bernabeu dalam masa terdekat,” kata Real Madrid menerusi satu kenyataan. – AGENSI










