Edry tubuh syarikat di Manchester - Utusan Malaysia

Edry tubuh syarikat di Manchester

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Penerbit dan komposer, Edry Abdul Halim, 42, kini sedang melakukan persiapan untuk menubuhkan syarikat pengurusan artis yang diberi nama KRU Entertainment UK Limited.

Syarikat yang bakal beroperasi di Manchester, United Kingdom (UK) itu akan dibuka sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Selain mengembangkan perniagaan dalam industri hiburan, Edry memilih lokasi tersebut demi untuk melihat perkembangan positif anaknya, Emery yang menghidap autisme.

“Menerusi syarikat tersebut, saya akan mencungkil bakat baharu di sana serta dalam masa yang sama menjadi ejen promoter untuk konsert artis antarabangsa di Malaysia dan Asia.

“Saya memilih Manchester kerana di sana menawarkan kemudahan dan sekolah terbaik untuk anak-anak autisme. Lebih menarik, mereka turut menyediakan sebuah pusat membeli-belah khas untuk anak-anak istimewa itu.

“Isteri dan anak-anak saya sudah seminggu berada di sana. Bagaimanapun, kami belum mendaftar sekolah mereka kerana sesi persekolahan akan bermula September ini.

“Saya akan lihat dulu perkembangan Emery dalam tempoh setahun atau dua tahun ini. Jika tidak bersesuaian, dia mungkin dipindahkan ke sekolah lain,” katanya yang ditemui dalam majlis tayangan perdana filem Wheely, di sini malam tadi.

Selain Emery, Edry yang mendirikan rumah tangga dengan Milia Mohammed pada November 1999 turut dikurniakan tiga orang lagi cahaya mata iaitu Emil, Edylia dan Elya.

Sementara itu, Edry pulang ke tanah air selama seminggu bagi memberi sokongan kepada filem animasi Wheely terbitan abangnya, Datuk Norman Abdul Halim.

Kepulangannya juga bagi menyiapkan rakaman lagu empat orang penyanyi yang belum dapat diumumkan.

“Jadual saya sangat padat dalam seminggu ini kerana perlu membantu empat orang penyanyi merakamkan lagu mereka. Saya bersyukur kerana khidmat saya masih diperlukan oleh penyanyi di sini biarpun saya sudah berhijrah ke UK,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN