Dua wanita diberkas disyaki terlibat edar dadah - Utusan Malaysia

Dua wanita diberkas disyaki terlibat edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAU – Seorang ibu dan teman wanita kepada seorang lelaki yang dipercayai suspek utama pengedaran dadah di daerah ini diberkas polis dalam satu serbuan di Kampung Segong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, serbuan pada pukul 9 pagi itu, berjaya menahan dua wanita masing-masing berusia 47 dan 20 tahun yang dipercayai bersengkokol dalam melakukan jenayah tersebut.

Bagaimanapun katanya, suspek lelaki yang berusia 20-an tidak berada di rumah semasa serbuan tersebut dijalankan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui dadah dipercayai jenis syabu seberat 50.8 gram yang disorokkan di dalam sebuah beg.

“Kita percaya dadah yang siap dibungkus itu sedia untuk dipasarkan bagi pasaran tempatan dan nilai rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Sabri memberitahu, buat masa ini pihak polis masih memburu suspek utama bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua wanita berkenaan masih ditahan di lokap IPD Bau untuk tindakan selanjutnya.

“Selain merampas dadah, polis turut menyita dua buah kereta iaitu jenis Toyota Camry dan Honda City selain barangan kemas, jam tangan dan wang tunai daripada suspek.

“Nilai keseluruhan rampasan berkenaan dianggarkan sebanyak RM108,500,” ujarnya lagi.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×