Dua suspek warga Vietnam ditahan, cubaan pecah masuk kedai perkakasan gagal - Utusan Malaysia

Dua suspek warga Vietnam ditahan, cubaan pecah masuk kedai perkakasan gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Dua lelaki warga Vietnam ditahan selepas dipercayai cuba memecah masuk sebuah kedai perkakasan di Bandar Permaisuri, Setiu di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kedua-dua suspek berusia 37 dan 30 tahun itu diberkas sekumpulan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu kira-kira pukul 1 pagi hasil maklumat awam. 

Menurut beliau, tindakan pantas seorang pengawal keselamatan di premis berhampiran yang menghubungi pihak polis sejurus melihat sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dalam keadaan mencurigakan berjaya membawa kepada penangkapan suspek terbabit.

“Ketika serbuan dijalankan, kelihatan tiga lelaki sedang mengumpil pintu belakang kedai perkakasan tersebut sebelum seorang daripada mereka meloloskan diri ke kawasan semak dan seorang lagi menaiki kereta. 

“Anggota polis terpaksa bergelut dengan seorang suspek yang ditahan di lokasi kejadian manakala seorang lagi lelaki yang melarikan diri dengan kereta Proton Saga BLM itu berjaya ditahan Unit Kereta Peronda Polis selepas dikejar pada jarak kira-kira 1.5 kilometer,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fazlisyam berkata, usaha memburu seorang lagi suspek yang meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran premis berkenaan sedang giat dijalankan.

Jelas Fazlisyam, suspek yang kini diburu juga seorang warga Vietnam berdasarkan penemuan pasport miliknya dan pihak polis percaya mereka aktif melakukan aktiviti jenayah itu secara berkumpulan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN