KUALA LUMPUR – Seorang doktor perbidanan dan sakit puan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menyebabkan kematian menantu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mendapatkan rawatan gigi tiga tahun lalu.
Hakim Zaman Mohd. Noor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Dr. Ting Teck Chin, 38, di akhir pendakwaan.
“Terdapat percanggahan keterangan di antara pakar bius dan pakar autopsi dari segi punca kematian si mati. Pakar bius mengatakan kematian disebabkan wujud serangan jantung (cardiac arrest) berikutan penggunaan lebihan bius (over sedation), manakala pakar autopsi berpendapat kematian disebabkan oleh alahan dengan ubat bius.
“Oleh yang demikian, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Teck Chin didakwa telah menyebabkan kematian Allahyarham Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, 44, dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.
Tertuduh yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields di sini antara pukul 6 petang dan 9.05 malam pada 1 Jun 2016.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











