KUALA LUMPUR 31 Ogos – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menafikan spekulasi bahawa beliau menarik diri di saat akhir daripada program debat yang dianjurkan oleh stesen televisyen Astro Awani.
Halimey Abu Bakar berkata, dakwaan seperti itu adalah tidak berasas sama sekali kerana pihaknya tidak menerima sebarang jemputan rasmi daripada pihak penganjur untuk tampil berdebat di atas satu pentas dengan calon Pas, Dr. Halimah Ali.
Menurut beliau, soal takut atau gentar untuk berhadapan dengan calon lawan bukanlah perkara utama sepanjang tempoh berkempen ini sebaliknya apa yang perlu didahulukan adalah usaha untuk mendekati pengundi.
Bukan isu saya menarik diri sebenarnya, sebaliknya tidak ada jemputan. Daripada segi komunikasi ada sedikit masalah kerana saya tidak terima apa-apa jemputan pun,” katanya ketika sidang akhabar di Bilik Gerakan Utama PH bagi DUN berkenaan dekat sini hari ini.
Berdasarkan poster yang tular dalam media sosial sebelum ini, debat di antara Halimey dengan Halimah dijadualkan berlangsung pada Rabu, 29 Ogos lalu pukul 9.30 malam.
Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir menerusi akaun Facebooknya mendakwa, debat terbabit terpaksa dibatalkan berikutan tindakan Halimey menarik diri. – UTUSAN ONLINE











