China rancang roboh masjid - Utusan Malaysia

China rancang roboh masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING 10 Ogos – Beratus-ratus penduduk etnik Hui yang beragama Islam mengadakan tunjuk pe­rasaan di wilayah Ningxia hari ini bagi membantah rancangan kerajaan China merobohkan sebuah masjid besar yang baru dibina.

Rancangan itu bertentangan dengan jaminan kebebasan ber­agama yang dijanjikan oleh kerajaan China sebelum ini.

Bimbang rancangan itu boleh mencetuskan kegiatan keganasan, kawalan keselamatan di kawasan yang dihuni penduduk beragama Islam diperketatkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan notis yang dikeluar­kan oleh pihak berkuasa, Masjid Besar Weizhou tidak mendapat permit sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan.

Masjid itu dijadualkan diroboh hari ini dan isu tersebut diuar-uarkan oleh penduduk beragama Islam menerusi media sosial.

Rancangan berkenaan menimbulkan kemarahan dalam kala­ngan penduduk selain beberapa perbincangan yang diadakan antara wakil masjid dan pihak berkuasa gagal mencapai persetujuan.

Penduduk Islam enggan membenarkan pihak berkuasa menggantikan kubah masjid berkenaan dengan kubah berbentuk pagoda yang didakwa menunjukkan identiti budaya Cina.

Sehubungan itu, ratusan penduduk tempatan berhimpun di kawasan masjid tersebut dan Datuk Bandar Weizhou dijangka mengadakan perbincangan de­ngan kumpulan berkenaan kelak.

Seorang penunjuk perasaan yang enggan mendedahkan identiti memberitahu, mereka seolah-olah menjual kesucian agama Islam jika menandatangani persetujuan untuk merobohkan masjid tersebut.

“Kami tidak bersetuju dengan rancangan kerajaan China untuk merobohkan masjid tersebut dan menerusi aplikasi WeChat, kami menggesa semua penduduk kampung agar tidak menandatangani persetujuan berkenaan,” katanya.

Pengarah masjid tersebut, Ding Xuexiao ketika dihubungi Reuters bagaimanapun menolak untuk memberi sebarang kenyataan.

Dalam pada itu menurut sumber, kerajaan China tidak merancang untuk merobohkan masjid tersebut, sebaliknya ingin melakukan pengubahsuaian bagi mengecilkan saiz bangunan masjid berkenaan.

Jelas sumber itu, perbincangan dengan banyak pihak masih dilakukan dan tiada sebarang persetujuan dicapai setakat ini.

Pihak berkuasa bandar Weizhou juga gagal dihubungi untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, beberapa rakaman video menunjukkan penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan masjid menjadi tular dalam media sosial semalam.

Beberapa buah van polis turut dirakam berada di lokasi kejadian dan tunjuk perasaan berlangsung secara aman. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×