LONDON – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri menegaskan, beliau tidak tahu sebarang maklumat berhubung kemungkinan pasukan itu akan membawa masuk penjaga gol Athletic Bilbao, Kepa Arrizabalaga dengan rekod perpindahan dunia.
Pemain antarabangsa Sepanyol itu dilaporkan semakin hampir menyertai The Blues selepas kedua-dua pasukan dikatakan sudah bersetuju dengan yuran perpindahan £71 juta (RM374.3 juta).
Chelsea dikatakan terdesak untuk mendapatkan penjaga gol baharu gara-gara keengganan Thibaut Courtois pulang ke kelab bagi memaksa The Blues melepaskannya ke Real Madrid.
“Sebenarnya, saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu. Saya akan berjumpa dan berbincang dengan pengurusan kelab mengenainya.
“Ingin saya tegaskan, saya tidak mahu beri sebarang komen mengenai situasi Courtois ataupun mengulas spekulasi mengaitkan Kepa dengan pasukan ini,” kata Sarri.
Dalam pada itu, bekas jurulatih Napoli tersebut mengakui khabar angin yang mendakwa Eden Hazard bakal meninggalkan The Blues sudah berakhir selepas beliau mengadakan pertemuan dengan pemain sayap berkenaan.
“Saya sudah bercakap dengannya beberapa kali dalam tempoh dua hari. Jadi, saya tidak lihat ia sebagai masalah besar kepada kami. Dia sudah beritahu saya segala-galanya dan masalah ini sudah selesai,” ujarnya. – Agensi










