Buruk padahnya apabila terlanjur kata - Utusan Malaysia

Buruk padahnya apabila terlanjur kata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKATAAN berunsur lucah dan kesat yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut ahli-ahli Parlimen mencemarkan keharmonian sidang Dewan Rakyat ming­gu ini.

Sebagai wakil yang diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menyampaikan suara mereka di Dewan Rakyat, ahli-ahli Parlimen tanpa mengira di pihak kerajaan atau pembangkang sepatutnya menjadi suri teladan yang unggul kepada masyarakat.

Lebih-lebih lagi apabila mengambil kira faktor bangunan Parlimen sentiasa menerima kunjungan pelawat dari dalam dan luar negara serta pelajar-pelajar sekolah dan universiti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain siaran audio dan vi­sual secara langsung di dalam bangunan Parlimen, sidang Dewan Rakyat juga dapat diikuti secara langsung di seluruh dunia melalui internet dan media sosial.

Setiap tutur kata dan gerak geri ahli-ahli Parlimen dapat didengar serta diperhatikan oleh mereka yang mengunjungi bangunan Parlimen dan menonton siaran langsung atau rakaman yang tular.

Justeru, amaran keras yang dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusoff kepada Ahli Parlimen Kinabata­ngan, Datuk Bung Moktar Radin memang satu tindakan yang tepat.

Walau apa pun alasan yang digunakan termasuk provokasi pihak lawan, kata-kata lucah atau kesat tidak sepatutnya diucapkan dalam sidang Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan menunjukkan sikap yang patut dipuji ketika berbahas atau mencelah.

Begitu juga dengan penyokong-penyokong kerajaan yang dahulu berada di blok pembangkang seperti Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang serta Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang kini Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Walaupun Kit Siang dan Gobind sering menimbulkan kekecohan dalam sidang Dewan Rakyat ekoran kritikan yang pedas terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu, mereka tidak menggunakan kata-kata kesat atau lucah ketika berhujah.

Justeru, amalkanlah kesopanan dan kebijaksanaan yang tinggi dalam menyuarakan pandangan agar dihormati oleh kawan dan lawan serta masyarakat.

Berhati-hatilah sebelum berkata. Fahamilah sedalam-dalamnya peribahasa Melayu yang berbunyi: “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×