Bukan jalan terbaik - Utusan Malaysia

Bukan jalan terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – Hasrat kerajaan untuk mengenakan syarat khas bagi kemasukan kende­raan asing dalam pasaran negara ini demi untuk melindungi kereta nasional, tidak akan menyelesaikan usaha Malaysia untuk mendapatkan akses kepada pasaran asing.

Pengarah Urusan portal automotif terkemuka, paultan.org, Paul Tan berkata, kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa wujud isu kereta ‘tin Milo’, menggambarkan ada kebimbangan me­ngenai aspek keselamatan membabitkan kereta import.

Bagaimanapun ujar beliau, sudah terdapat standard homologasi di Malaysia bagi memastikan hanya kenderaan yang meme­nuhi standard keselamatan dibenarkan dijual di negara ini.

Tambahan pula katanya lagi, struktur cukai di negara ini sememangnya sudah mengiktiraf pemasangan tempatan dan tahap kandungan tempatan yang tinggi.

“Kita boleh lihat perkara ini dari segi perbezaan harga antara kereta dipasang secara tempatan dengan kandungan tempatan yang rendah berbanding dengan kereta dipasang secara tempatan dengan kandungan tempatan yang tinggi berban­ding kereta yang diiimport sepenuhnya,” katanya.

“Hasil daripada dasar tersebut, Malaysia mempunyai be­be­rapa jenama asing yang meng­eksport kereta yang dibuat di Malaysia seperti BMW, Mazda dan Volvo,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bercadang untuk mengenakan syarat khas terhadap kenderaan dari luar negara bagi memberi peluang kepada kereta jenama tempatan yang selama ini terpaksa bersaing dengan kereta-kereta import yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat gergasi global.

Susulan itu, Presiden Persatu­an Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad menyifatkan hasrat kerajaan itu satu langkah regresif bagi industri automotif negara walaupun tindakan itu dibuat bagi melin­dungi kepentingan dua pembuat kereta kebangsaan iaitu Proton Holdings Bhd. (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).

Ini kerana Dr. Mahathir menyifatkan Proton bukan sebuah syarikat yang gagal memandang­kan ia pernah menguasai hampir 80 peratus pasaran di negara ini, mengumpul simpanan lebih RM4 bilion selain membangunkan kilang canggih di Tanjung Malim, Perak dengan menggu­nakan wang sendiri bernilai RM1.8 bilion.

Sementara itu, Presiden Peng­import dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, sekatan terhadap kemasukan kereta import ke negara ini tidak perlu dilaksa­nakan sebaliknya Proton Holdings Berhad (Proton) harus me­ningkatkan reputasi dan kualiti kenderaannya bagi menghadapi persaingan sengit dalam industri automotif global.

Katanya, tindakan itu hanya akan menyebabkan negara-ne­gara yang dikenakan syarat-syarat khas itu membalas balik dengan menyekat kenderaan Proton ke negara masing-ma­sing sekali gus merugikan syarikat pengeluar kenderaan tersebut.

Menurutnya, walaupun ia tidak memberi kesan kepada anggota Pekema yang menjual kenderaan melebihi RM100,000 tetapi cadangan kerajaan itu akan menjejaskan peniaga dan pengedar dalam segmen kereta di bawah RM100,000 (yang bersaing dengan Proton).

“Dengan mengambil contoh, kereta jenama Kia yang bermula sama seperti Proton, yang mana mereka sekarang dan di mana pula kedudukan Proton? Sudah tiba masanya Proton kena beri tumpuan pada kualiti jika nak tembusi pasaran eksport sebab sesetengah negara tidak akan menerima kereta yang tidak berkualiti,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, firma penyelidikan Affin Hwang Capital berkata, landskap sektor automotif Malaysia akan berubah sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sekatan ke atas kereta import manakala jenama tempatan (Proton dan Perodua) akan me­raih manfaat dengan me­ngorbankan jenama asing seper­ti BMW (Sime Darby), Mazda (Bermaz Auto), Mercedez-Benz (Cycle & Carriage and Hap Seng) dan Nissan (Tan Chong).

Katanya, pengeluar alat ganti tempatan seperti APM Automotive Holdings Bhd. dan MBM Resources pula akan meraih manfaat secara tidak langsung daripada pengeluaran kereta tempatan yang tinggi.

“Bagaimanapun, keadaan ini masih kabur memandangkan kerajaan kini sedang mengkaji semula Dasar Automotif Nasio­nal (NAP) bagi menjadikan industri tersebut lebih kompe­titif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN