BUDAPEST – Juara bertahan Formula Satu (F1), Lewis Hamilton mengiktiraf peranan besar Valterri Bottas dalam memastikan pesaing besar mereka, Sebastian Vettel tidak merampas kemenangannya pada Grand Prix (GP) Hungary minggu lalu.
Pelumba Britain itu memulakan saingan di petak pertama, manakala Bottas di petak kedua selepas kedua-dua mereka melakukan aksi mengagumkan pada sesi kelayakan.
Sepanjang pelumbaan, Hamilton kekal selesa di depan, manakala Bottas kekal di posisinya dan menyekat kemaraan dua jentera merah, Vettel dan Kimi Raikkonen daripada memotong
“Jika Vettel berjaya memotong Bottas, saya rasa perlumbaan akan menjadi lebih sukar. Vettel mungkin berjaya memintas kedudukan saya pada lima pusingan terakhir. Saya pasti bergelut untuk menang,” jelasnya.
Bagaimanapun, kenyataan itu ditepis Vettel yang menganggap biarpun tanpa halangan daripada Bottas sepanjang perlumbaan itu, mereka masih sukar untuk meraih kemenangan.
“Kami mungkin dapat mengejar, memberikan tekanan dan bersaing sengit. Tetapi kami tidak mampu memintasnya. Saya memang laju daripada Bottas pada akhir pelumbaan.
“Namun, saya tak boleh lakukan pada awal perlumbaan. Jadi, saya tunggu sehingga 10 pusingan terakhir sebelum berhabis-habisan,” katanya. – Agensi











