AWANG menyambut baik peringatan yang dikeluarkan kepada penjawat awam supaya mereka mengamalkan prinsip integriti berhubung maklumat atau dokumen sulit kerajaan. Ada juga beberapa keputusan yang bukan rahsia tersebar begitu pantas sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga kerahsiaan dan tahu membezakan antara maklumat yang boleh disebarkan atau dirahsiakan. Mereka harus amanah kepada majikan dan tidak menjadi musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.
Dokumen yang diklasifikasikan sebagai sulit atau rahsia perlu dihormati dan tidak boleh dibincangkan di luar termasuk melalui media sosial seperti WhatsApp dan Facebook. Persoalannya, apakah motif yang mendorong mereka berbuat demikian dan sanggup melanggar ikrar dan sumpah simpan rahsia ini?
Dalam era teknologi hari ini, perbincangan sulit boleh bertukar menjadi perbincangan umum yang tersebar dengan cepat. Justeru siasatan menyeluruh perlu dilakukan supaya dapat dikenal pasti punca maklumat itu bocor.
Tindakan tegas perlu diambil dan hukuman yang setimpal perlu dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah.
Awang berharap, kakitangan perkhidmatan awam lebih berhati-hati dalam pengurusan dokumen yang dianggap sulit. Jika tidak mereka perlu bersedia dikenakan tindakan tatatertib. Ingatlah kemungkinan ada maklumat sulit yang tersebar bukan sahaja menjejaskan imej kerajaan tetapi mengancam keselamatan negara.
AWANG – Tetap setia simpan rahsia.











