BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 1 OGOS 2018 - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 1 OGOS 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWANG kecewa menjelang sambutan Hari Pahlawan semalam, timbul suara-suara sumbang yang mahu buku teks Sejarah ditulis semula bagi mengiktiraf Parti Komunis Malaya (PKM). Isu ini tidak sepatutnya ditimbulkan ketika masyarakat seharusnya menghargai anggota-anggota keselamatan yang terkorban dan menderita semasa menentang pengganas komunis.

Sejarah tidak boleh diubah walaupun sudah ada usaha pihak tertentu sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi ‘memutihkan’ PKM. Kenapa perlu dibangkitkan sejarah yang sudah tertulis mengenai perjuangan dan pengorbanan perwira negara menentang pengganas komunis?

Perdebatan isu ini harus dihentikan supaya ia tidak mengguris perasaan perwira negara dan keluarga mereka. Masih ramai yang trauma dengan pengganas komunis terutama mereka yang cacat seumur hidup. Ingatlah, apa yang dinikmati tidak datang bergolek, tidak semudah peralihan kerajaan baru-baru ini.

Justeru, sambutan Hari Pahlawan bukan sekadar merai atau mengenang jasa pahlawan tetapi perlu menyedarkan generasi hari ini bagaimana keperitan anggota pasukan keselamatan menentang pengganas komunis.

Awang percaya isu seumpama ini tidak menguntungkan mana-mana pihak sebaliknya boleh mengundang pihak luar menangguk di air keruh. Tidak seharusnya kita mendedahkan negara ter­hadap perbalahan yang boleh mengancam perpaduan, keharmonian dan keselamatan. Jangan disebabkan keselesaan yang ada hari ini, kita lupa perjuangan yang lalu. Keselesaan boleh hilang sekelip mata.

AWANG – Ingat Tabung Hari Pahlawan di sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN