Apabila ketamadunan berkuasa
Modenisasi bermaharajalela
Taksub manusia pada peranti siber
Menjadi medan luahan emosi
Tampuk hebahan berita sensasi
Galak bersaing mengejar populariti
Akhirnya mengundang padah memakan diri.
Hilang lenyap bahasa indah lontaran kotak suara
Sepi hambar meruntun suasana tanpa secalit kata
Membunuh bicara dan gelak tawa
Merelakan diri kepada kerendahan jiwa
Kerana setiap perihal suka dan duka
Tidak lagi berkongsi cerita secara bersua muka.
Lebih tega membiarkan jari-jemari yang berkata-kata
Lagaknya bagai cendekiawan memuntahkan idealisme.
Mata terus tertunduk patuh pada materialisme
Bibir dan lidah terus beku, kaku dan kelu
Sunyi dan lengang tanpa sekelumit bicara
Dek telatah manusia yang terus hanyut di alam maya.
Ini semua perihal realisme
Ghairah siber kian membudaya.
Bangkitlah
Tak hilang, tak kecundang, tak tumbang
Andai bijak memilih ruang dan peluang.
Ayuh, lontarkan suaramu
Jangan berhenti berbicara
Jangan leka jangan alpa
Kelak bahasamu nanti akan sirna tanpa penuturnya.
NUR FARAHKHANNA MOHD RUSLI
Hulu Langat, Selangor










