PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan (gambar) bertegas tidak mahu berkonfrontasi dengan Tan Sri Annuar Musa termasuk melayan desakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) untuk memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).
Usahawan batik itu sebaliknya mahu fokus menyelamatkan masa depan The Red Warriors (TRW) dengan menyelesaikan beberapa isu membabitkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Bibi Ramjani berkata, isu tersebut lebih penting berbanding daripada melayan desakan berkenaan.
![]() |
|
BIBI RAMJANI
|
Menurutnya, buat masa ini tiada keperluan untuk memanggil EGM kerana masa kian suntuk buat KAFA menyelesaikan tuntutan gaji bekas pemain dan staf kejurulatihan import TRW sebelum ini.
“Status jawatan (presiden) tidak dapat menyelamatkan KAFA daripada berdepan hukuman, sebaliknya tindakan komprehensif kita yang dapat membantu mengelakkan Kelantan daripada dikenakan hukuman oleh FIFA.
“Ini bukan perkara yang boleh diambil mudah oleh KAFA kerana kesannya amat buruk jika gagal ditangani dengan baik,” katanya mengulas kenyataan Annuar dan desakan PBJ yang mahu KAFA memanggil EGM.
Kosmo! semalam melaporkan, Annuar membidas kenyataan Bibi Ramjani yang meminta kepimpinan lama menyelesaikan isu tunggakan hutang selain PBJ mendesak KAFA mengadakan EGM.
Drama pergolakan dalaman KAFA semakin menarik apabila Setiausaha Agungnya, Husin Deraman mengambil langkah drastik meninggalkan badan induk itu.
Tindakan Husin itu meletakkan krisis dalaman KAFA makin parah selepas dua Naib Presiden, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim dan Bendahari, Datuk Ahmad Razali Ibrahim meletakkan jawatan sebelum itu.
Dalam pada itu, Bibi Ramjani mendedahkan wujudnya gerakan tertentu mahu menyingkirkan beliau daripada jawatan itu, namun beliau mahu fokus kepada usaha menyelamatkan TRW.
“Ada desas-sesus yang mana saya mahu digulingkan tetapi sebelum diguling kita buat yang terbaik sehingga titik akhir,” ujarnya.











